Bekas Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp didakwa perdaya ahli lembaga pengarah RM9.46j - Utusan Malaysia

Bekas Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp didakwa perdaya ahli lembaga pengarah RM9.46j

KAMARUZZAMAN Abu Kassim (tengah) mengaku tidak bersalah atas dakwaan memperdaya Ahli-Ahli Lembaga Pengarah JCorp melibatkan pelaburan berjumlah RM9.46 juta di Mahkamah Sesyen, Johor Bahru. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Bekas Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation Bhd. (JCorp), Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim mengaku tidak bersalah atas dakwaan memperdaya Ahli-Ahli Lembaga Pengarah JCorp melibatkan pelaburan berjumlah RM9.46 juta pada 2019.

Kamaruzzaman yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Mohd. Norisham Wan Yaakob.

Tertuduh yang berusia 58 tahun itu hanya mengangguk tanda faham terhadap pertuduhan itu, namun memohon agar dibicarakan.

Berdasarkan pertuduhan, Kamaruzzaman menipu dengan memperdaya Ahli Lembaga Pengarah JCorp untuk melabur sebanyak AS$1 juta (RM4.21 juta) dalam World Logistic Council Limited, manakala sebanyak AS$1.25 juta (RM5.27 juta) pula dilaburkan dalam World Logistic Council Americas LLC.

Beliau didakwa membuat kesalahan itu melalui satu pembentangan untuk meluluskan penggunaan dana sementara JCorp berjumlah AS$5 juta (RM21.07 juta) untuk membuat pelaburan berkenaan.

Kamaruzzaman didakwa melakukan perbuatan itu di Bilik Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah, Tingkat 25, Menara Komtar pada 8 Julai 2019.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dengan sebat dan denda.

Mahkamah kemudian membenarkan Kamaruzzaman dijamin sebanyak RM150,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu pasport antarabangsa diserah kepada mahkamah, perlu melapor diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebulan sekali dan tidak dibenarkan berkomunikasi dengan saksi pendakwaan.

Peguam tertuduh, K. Ragunath bagaimanapun memohon agar mahkamah membenarkan pasport tertuduh diserah sebelum 23 April kerana Kamaruzzaman bakal menunaikan umrah pada 7 April ini sebelum pulang ke tanah air semula pada 18 April.

Mahkamah membenarkan permohonan itu dan turut menetapkan tarikh 25 Mei untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan penyerahan senarai saksi pendakwaan.

Kamaruzzaman dilantik sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp pada Disember 2010 menggantikan Allahyarham Tan Sri Muhammad Ali Hashim yang sebelum itu bersara pada 12 Disember 2019. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya