Bekas Pengerusi Mara Inc. didakwa semula di bawah AMLA esok - Utusan Malaysia

Bekas Pengerusi Mara Inc. didakwa semula di bawah AMLA esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Pengerusi Mara Incorporated Sdn. Bhd. (Mara Inc.) berhadapan dengan pertuduhan semula membabitkan kes pengubahan wang haram esok.

Satu sumber memberitahu Utusan Malaysia, pertuduhan semula itu akan dilaksanakan di Mahkamah Sesyen Jenayah, Kota Kinabalu, Sabah dan akan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Allan Suman Pillai dan Maziah Mohaide.

Sumber berkata, sebelum ini, Hakim Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Lumpur telah menetapkan supaya perbicaraan kes Predicate dan kes AMLA dijalankan secara berasingan bersandarkan kepada fakta bahawa cawangan pembukaan akaun bank milik tertuduh dan juga keberadaan saksi utama kes AMLA yang berada di Kota Kinabalu, Sabah.

“Sehubungan itu, pertuduhan semula akan dilakukan pukul 9 pagi esok,” katanya di sini hari ini.

Pada 10 Januari lalu, beliau dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur daripada dua pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang RM10 juta.

Hakim Suzana Hussin membuat keputusan itu selepas Allan Suman memohon supaya tertuduh dilepas tanpa dibebaskan berikutan dia akan didakwa semula terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, Sabah pada Februari atau Mac ini.

Peguam Teh See Khoon yang mewakili tertuduh memohon jaminan RM400,000 dikurangkan kepada RM300,000 memandangkan pihak pendakwaan menggugurkan dua pertuduhan itu dan anak guamnya memerlukan wang berkenaan untuk membayar jaminan apabila dia didakwa semula di Sabah.

Allan Suman tidak membantah permohonan itu dan mahkamah membenarkan wang jaminan dikurangkan kepada RM300,000 dan mengekalkan syarat tambahan sebelum ini iaitu pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Sementara itu, Allan Suman juga memohon supaya prosiding perbicaraan bagi 20 pertuduhan rasuah yang dihadapi tertuduh yang sepatutnya bermula 24 Januari ini di Mahkamah Sesyen di sini, dilapangkan kerana pihak pendakwaan perlu mengemas kini saksi pendakwaan.

Mahkamah membenarkan permohonan itu dan menetapkan tarikh perbicaraan baharu pada 23 Mei ini.

Pada 5 Februari tahun lalu, tertuduh didakwa atas dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram dengan memindahkan wang RM10 juta daripada akaun Private Banking Portfolio CIMB Bank miliknya di CIMB Bank ke akaun semasa dan akaun simpanan tetap CIMB Bank Berhad, juga miliknya, yang juga hasil daripada aktiviti haram.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Jalan Sagunting, Central Building, Kota Kinabalu, Sabah, pada 10 Disember 2012.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613) (AMLA) dan boleh dihukum dibawah Seksyen 4(1) akta sama membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Beliau juga didakwa didakwa atas 20 pertuduhan rasuah berjumlah RM20.45 juta membabitkan hartanah di Melbourne, Australia.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di beberapa lokasi termasuk di Maybank Cawangan Mont Kiara dan Solaris Mont Kiara, dekat sini, antara September 2012 dan 26 Julai 2013 dan di CIMB Bank Jalan Sagunting, Central Building, Kota Kinabalu, Sabah pada 10 Disember 2012.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) dan Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan tersebut dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN