Bekalan beras negara stabil walaupun berdepan sekatan, gangguan

Bekalan beras negara stabil walaupun berdepan sekatan, gangguan

RONALD Kiandee (dua kiri) menyaksikan pertukaran dokumen MOC antara FGV dengan Bernas di Kilang Beras Bernas Seri Tiram Jaya, Tanjong Karang di Kuala Selangor, Selangor, hari ini. - UTUSAN / NORHAYATI YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Bekalan makanan asas negara khususnya beras berada pada tahap stabil walaupun negara berhadapan sekatan dan gangguan termasuk keadaan cuaca tidak menentu akhir-akhir ini.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, setakat ini tiada gangguan bekalan beras apabila pada tahun lalu, negara kita berjaya 63 peratus pengeluaran beras berbanding sasaran sebanyak 70 peratus.

Katanya, melalui PadiBeras Nasional Berhad (Bernas), pihaknya percaya rakyat negara ini tidak perlu risau mengenai bekalan beras negara.

“Negara kita masih mampu mengeluarkan (beras) walaupun sasaran 70 peratus tetapi tahun lalu kita berjaya capai 63 peratus daripada keperluan negara walaupun ada sekatan dan gangguan, kita masih mendapat bekalan yang konsisten.

“Bernas mempunyai hubungan perniagaan dengan pihak pengeksport daripada luar, jadi itu yang dilakukan dan rakyat Malaysia tidak perlu risau tentang bekalan beras negara,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Beliau sebelum itu, menyaksikan pertukaran dokumen Memorandum Kolaborasi (MOC) antara dua syarikat peneraju di bawah program Sawah Berskala Besar (SMART SBB) iaitu FGV Integrated Farming Holdings Sdn. Bhd. (FGV) dengan Bernas di Kilang Beras Bernas Seri Tiram Jaya, di sini hari ini.

Pada majlis berkenaan, Ronald turut melancarkan produk di bawah program SMART SBB  iaitu beras wangi Malaysia Saji Aroma yang bakal dijual di pasaran bermula Mei hadapan.

Mengulas lanjut, Ronald memberitahu, pelbagai usaha dimainkan di peringkat domestik khususnya menerusi program SMART SBB bagi meningkatkan hasil pengeluaran beras ke tahap lebih tinggi.

Ujarnya, usaha itu dilihat dapat mengurangkan kebergantungan negara untuk mengimport beras dari negara luar selain mampu meningkatkan pendapatan pesawah.

“Perkongsian (FGV dan Bernas) ini penting kerana ia mampu meningkatkan pendapatan pesawah dan meningkatkan produktiviti selain mengurangkan kebergantungan pada orang tengah.

“Jadi pendekatan SMART SBB ini merupakan pendekatan baru yang menjadikan industri beras ke tahap lebih tinggi sesuai dengan perkembangan teknologi masa kini sekali gus kita mengharapkan lebih ramai pesawah untuk terlibat dalam program SMART SBB di bawah beberapa syarikat peneraju yang dilantik oleh kerajaan,” ujarnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya