SHAH ALAM: Bekalan air di 11 kawasan terjejas di Klang telah mula disalurkan secara berperingkat kepada pengguna pagi ini selepas kerja pembaikan paip pecah di kawasan Jalan Seruling 59, Taman Seri Andalas selesai pada 2 pagi tadi.
Menurut Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn.Bhd. (Air Selangor) Elina Baseri, bekalan air di kawasan terjejas dijangka pulih sepenuhnya pada pukul 4 petang ini namun tempoh masa pemulihan adalah berbeza, bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.
“Air Selangor ingin menyarankan pengguna yang telah dan akan mendapat bekalan air supaya membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian.
“Air Selangor berharap pengguna yang telah mendapat bekalan air akan menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti dijadualkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bantuan air alternatif melalui lori-lori tangki akan terus digerakkan di kawasan terjejas dengan keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara pengebumian.
Jelasnya lagi, pengguna hendaklah mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mengambil bekalan air daripada lori-lori tangki disediakan. – UTUSAN










