BUKIT MERTAJAM: Usianya baru mencecah sebulan namun seorang bayi di sini terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan untuk terus hidup.
Bayi lelaki tersebut, Muhammad Aidan Saqeef Mohamud Syafirza kini ditempatkan di wad penjagaan intensif untuk bayi (NICU) setelah didiagnosis menghidap masalah jantung serius.
Bapanya, Mohamad Syafirza Sazali, 25, berkata, masalah dihadapi anak tunggalnya itu dikesan doktor sejak dalam kandungan selepas denyutan jantungnya semakin perlahan.
Katanya, Muhammad Aidan Saqeef terpaksa dikeluarkan lebih awal menerusi pembedahan caesarean demi menyelamatkan nyawa serta ibunya, Aida Sabrina Alwi, 25.
Ketika ini, kata Mohamad Syafirza, pembedahan jantung terpaksa dilakukan segera demi menyelamatkan nyawa si kecil itu.
Bagaimanapun, kos pembedahan jantung yang mencecah RM90,000 adalah di luar kemampuan Mohamad Syafirza yang hanya berpendapatan RM2,000 sebulan sebagai peniaga sayur sementara isterinya, Aida Sabrina seorang suri rumah.
Dalam pada itu, Pengerusi pertubuhan kebajikan One Hope Charity and Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, keadaan Muhammad Aidan Saqeef ketika ini kritikal kerana bayi itu sering muntah-muntah dan mempunyai masalah asma.
“Pembedahan pertama ini adalah untuk menyelesaikan masalah tekanan paru-paru yang terlalu tinggi akibat masalah kadar oksigen dalam darah.
“Selepas itu, Muhammad Aidan Saqeef masih perlu menjalani dua lagi pembedahan iaitu ketika berusia antara dua hingga tiga tahun serta ketika mencapai usia antara lima hingga enam tahun bagi menyelesaikan segala masalah jantung yang dihadapinya,” katanya di sini semalam.
Jelas Sui Hau, pihaknya bersetuju membantu mengumpul dana bagi menjayakan pembedahan pertama yang berjumlah RM90,000 itu selepas membuat pengesahan berkaitan.
Katanya, orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Public Bank Berhad di nombor 3193433435 atau menerusi laman sesawang www.onehopecharity.org atau aplikasi One Hope Charity. – UTUSAN










