Banjir: Sistem saliran di ibu kota direka semula

Banjir: Sistem saliran di ibu negara akan dirangka semula

SHAHIDAN KASSIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Reka bentuk sistem saliran di ibu negara akan dirangka semula bagi membolehkan ia dapat menampung penambahan aliran air hujan sekali gus mampu mengelak berlakunya banjir.

Menteri Wilayah, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melantik perunding untuk mereka bentuk semula sistem saliran itu.

Shahidan berkata, perkara itu juga merupakan sebahagian pelan jangka panjang Jabatan Pengairan dan Saliran bagi menangani masalah banjir kilat di Kuala Lumpur.

“Perunding yang akan dilantik oleh DBkL itu diminta menyiapkan kajian dalam tempoh 12 bulan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Dewan Rakyat pada hari ini  meluluskan usul untuk membahaskan isu banjir kilat yang melanda Kuala Lumpur khususnya Lembah Klang baru-baru ini.

Usul berkenaan dikemukakan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) pada Isnin lalu dan dipersetujui sebulat suara oleh ahli Dewan Rakyat.

Selain itu, Shahidan turut menafikan DBKL tidak membersihkan longkang secara berkala menjadi punca kepada banjir di Kuala Lumpur.

“Daripada 29 kawasan yang terjejas pada Isnin lalu, air surut dalam tempoh 30 hingga 45 minit di 25 kawasan, manakala empat kawasan lain mengambil masa satu hingga tiga jam untuk surut,” katanya.

Dalam pada itu, Shahidan turut mempertahankan kenyataannya sebelum ini bahawa pengurusan banjir di Malaysia adalah yang terbaik didunia.

“Saya kata berpindah sebelum banjir. Itu sebab, contoh macam yang berlaku di Kelantan, kita pindahkan sebelum terjadi.

“Bila ia berlaku, tiada bot digunakan kerana mereka berpindah guna kereta. Kemudian, mereka duduk sehari, dua hari di pusat pemindahan sementara dan selepas itu banjir pun datang.

“Selepas itu, mereka ini boleh balik ke rumah. Perpindahan itu melibatkan bot akan meyebabkan kerosakan, kemalangan jiwa,” katanya menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) berhubung kenyataan yang pernah dibuat pada 2013. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN