Banjir: Sektor pertanian Terengganu rugi lebih RM10 juta - Utusan Malaysia

Banjir: Sektor pertanian Terengganu rugi lebih RM10 juta

AZMAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Sektor pertanian negeri kerugian lebih RM10 juta akibat banjir besar yang melanda baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, jumlah kerugian itu melibatkan lebih 1,000 pemain industri termasuk golongan petani, penternak dan nelayan.

Katanya, antara yang terjejas teruk ialah pesawah padi dan pengusaha tembikai di Besut dan Setiu di samping penternakan akuakultur di sekitar Sungai Terengganu di daerah ini.

“Data awal kerugian itu sudah dibentangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk diambil perhatian kerana kita merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang mempunyai tabung bencana pertanian dengan dana RM1 juta.

“Insya-Allah kerajaan negeri akan mempertimbangkan satu jumlah yang sesuai bagi membantu rakyat bangkit kembali dan pemberian bantuan itu sekurang-kurangnya dapat meringankan beban mereka untuk mendapatkan benih mahu pun membaiki sangkar atau infrastruktur yang rosak,” katanya.

Beliau berkata dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan dan Bengkel Perlindungan Sinaran 2022 di sini hari ini.

Azman berkata, bentuk-bentuk bantuan yang bakal disalurkan bukan melibatkan ganti rugi keseluruhan sebaliknya menerusi pemberian benih, baja dan kelengkapan lain yang diperlukan.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan semua pemain industri yang terjejas agar membuat laporan kepada jabatan terlibat di samping laporan polis bagi membolehkan penyaluran bantuan disegerakan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN