Baharudin isi jawatan Ketua JSJ Selangor - Utusan Malaysia

Baharudin isi jawatan Ketua JSJ Selangor

BAHARUDIN Mat Taib (kiri) menyerahkan surat penghargaan kepada anggota polis pada majlis Sambutan Peringatan Hari Polis ke-215 di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib mengesahkan pelantikan beliau sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor baharu bermula bulan depan.

 Beliau yang kini Ketua Polis Daerah Shah Alam berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Ibu Pejabat Polis Bukit Aman semalam.

“Ya, saya sudah menerima arahan rasmi pertukaran jawatan sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri.

“Insya-Allah saya akan melaporkan diri pada awal April depan dengan jawatan Pemangku Senior Asisten Komisioner (SAC),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Sambutan Peringatan Hari Polis ke-215 di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini, hari ini.

Terdahulu, Baharudin memeriksa perbarisan kawalan kehormatan dan menyerahkan surat penghargaan kepada 98 pegawai dan anggota polis selain orang awam serta rakan korporat.

Pada 15 Disember lalu,  Ketua JSJ Selangor, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal dilantik menjadi pegawai Aide De Camp (ADC) atau juruiring kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Mengulas lanjut, kata Baharudin yang menjadi Ketua Polis Daerah sejak 1 Februari 2018, beliau menyambut baik arahan pertukaran itu.

“Majlis serah tugas itu dijangka berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor kelak. Misi dan visi saya akan dimaklumkan pada majlis berkenaan,” ujarnya.

 Tambah beliau, jawatan beliau bakal digantikan Ketua Penolong Pengarah (Kawalan Lalu-Lintas) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman yang juga bekas Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN