“Badan Nurul Ain masih panas, denyutan nadi masih terasa”  

“Badan Nurul Ain masih panas, denyutan nadi masih terasa”   

ROHAYA Abu Bakar mendukung jenazah anaknya Nurul Ain Darwisya Hanafiruz di Unit Perubatan Forensik, Hospital Rembau, Rembau, Negeri Sembilan, hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Ibu kepada seorang bayi perempuan yang meninggal dunia setelah dilaporkan tidak sedarkan diri selepas diberikan susu semalam, memaklumkan badan anaknya berusia 24 hari itu masih dalam keadaan panas dan dapat rasakan denyutan nadi anaknya itu sebelum dihantar ke hospital.

Rohaya Abu Bakar, 42, berkata, ketika kejadian, dia meninggalkan anaknya, Nurul Ain Darwisya Hanafiruz di bawah jagaan anak sulungnya buat sementara untuk makan tengah hari bersama anak-anaknya yang lain.

“Anak sulung saya mahu betulkan bedung Nurul Ain yang tidak diikat ketat, biasanya selepas dibuka bedung, Nurul Ain akan mengangkat tangan namun kali ini tidak.

“Saya masih dapat rasakan Nurul Ain masih bernyawa berdasarkan keadaan badannya yang masih panas dan nadinya masih ada, saya rasakan masih sempat untuk selamatkan dia. Sebaik sahaja sampai di hospital, doktor memberikan bantuan pernafasan buat namun Nurul Ain disahkan sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Perubatan Forensik, Hospital Rembau, di sini hari ini.

Terdahulu media melaporkan, seorang bayi perempuan berusia 24 hari meninggal dunia dipercayai selepas diberikan susu oleh ibunya dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Batu 1, Pedas Tengah, di sini, tengah hari semalam.

Rohaya menambah, Nurul Ain yang merupakan anak keenamnya itu sebelum kejadian dilihat nyenyak tidur dan telah disendawakan seperti biasa.

“Sepatutnya 8 Mac ini, saya bawanya ke hospital bagi pemeriksaan pendengaran namun tidak kesampaian, dia dilahirkan di Hospital Rembau dan meninggal dunia juga di sini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden, Hazri Mohamad berkata, hasil bedah siasat tidak menemukan punca kematian bayi berkenaan.

Menurutnya, sampel telah dihantar di makmal Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban bagi mengetahui punca kematian bayi itu. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN