KIRA-KIRA 160 orang pegawai dan kakitangan Pejabat Daerah Lipis (PDL) termasuk orang awam yang berurusan di premis berkenaan terkejut serta bergegas turun ke kawasan lapang di belakang bangunan berikutan panggilan ‘ancaman bom’ pada 13 Januari 2022, pukul 10 pagi di sini.
Serentak dengan bunyi siren amaran dan arahan menerusi pembesar suara supaya segera mengosongkan bangunan pentadbiran daerah Lipis, beberapa buah kereta peronda polis termasuk van Unit Persenjataan Kimia, Biologikal, Radiologikal, Nuklear dan Letupan (CBRNE) Polis Di Raja Malaysia (PDRM) turut memasuki perkarangan PDL.
Kira-kira 30 orang anggota CBRNE dan kawalan keselamatan PDRM Lipis mula membuat pemeriksaan di segenap kawasan luar PDL dengan dibantu oleh sistem drone di udara serta disusuli kemudiannya sebuah mesin robot bergerak ke arah sebuah objek di hadapan surau berdekatan situ.
Hampir 45 minit tugas pemeriksaan dilakukan oleh anggota CBRNE dan berakhir penemuan sebuah kotak dipercayai mengandungi sebutir bom di hadapan surau itu lalu mesin robot digunakan untuk membuat pemeriksaan terhadap objek tersebut sebelum arahan dikeluarkan supaya ia dimusnahkan (diletupkan).
Babak pada awalnya mengejutkan pegawai dan kakitangan PDL termasuk pelanggan yang berurusan di bangunan itu, akhirnya terjawab setelah diberitahu oleh pengacara program di situ merupakan cuma aktiviti Validasi Unit Pemusnah Bom (UPB), iaitu simulasi daripada anggota CBRNE menunjukkan cara-cara (tugasan) pemusnahan senjata (bom) dilakukan.
Pendedahan
Bercakap kepada media, Penolong Pengarah Persenjataan Kimia, Biologikal, Radiologikal, Nuklear dan Letupan (CBRNE), Jabatan Logistik dan Teknologi, Bukit Aman, Asisten Komisioner Polis, Mohammad Rafee Abu Bakar berkata, aktiviti itu bertujuan untuk memberikan pendedahan latihan kepada anggota berkenaan aspek kesiapsiagaan menangani ancaman berbentuk letupan (bom), bahan kimia dan sebagainya.
“Latihan anggota CBRNE atau juga dikenali Unit Pemusnah Bom (UPB) juga bermanfaat memberikan pengalaman berharga dan pengetahuan baharu kepada kakitangan agensi kerajaan di Lipis mengenai tahap keselamatan serta cara menyelamatkan diri daripada ancaman berkenaan.
“Sebelum aktiviti validasi ini, pegawai CBRNE telahpun memberikan ceramah kepada anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis, Bomba dan Penyelamat, tentera serta pegawai Pejabat Daerah Lipis mengenai cara menangani pelbagai jenis ancaman seperti bom, bahan kimia dan sebagainya, memperoleh maklumat awal sekiranya ada pihak yang menghubungi, cara tindakan, kewaspadaan, teknik mengosongkan premis serta perhubungan dengan pihak polis,” katanya ditemui di perkarangan Pejabat Daerah di Lipis baru-baru ini.
Yang hadir Ketua Polis Lipis, Suprintenden Azli Mohd. Noor dan Pegawai Daerah Lipis, Datuk Mohd. Hafizi Ibrahim.
Sempena Program Validasi Unit Pemusnahan Bom itu, Timbalan Ketua Polis Pahang, DCP Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri turut melawat lokasi pertama latihan pemusnahan bom dalam kalangan pegawai dan anggota CBRNE serta IPD Lipis di Penjom Gold Mine, Empang Jaleh berdekatan bandar Kuala Lipis.
Mohd. Yusri yang diiringi Ketua Polis Lipis, Suprintenden Azli Mohd. Noor turut diberi taklimat oleh Mohammad Rafee mengenai latihan UPB dan kemudiannya bersama pegawai berkenaan telah melaksanakan demonstrasi pemusnahan bom bagi melayakkan dianugerahi lencana Explosive Ordnance Disposal (EOD).
Kerjasama pelbagai agensi
Menurut Mohammad Rafee, aktiviti validasi akan lebih kerap diadakan dengan kerjasama agensi kerajaan termasuk komuniti di lapangan, mengenai bagaimana tindakan berdepan ancaman senjata berbahaya.
Contohnya seperti bom yang dipasang oleh pihak tidak bertanggungjawab di tempat tertentu termasuk bom lama yang dijumpai tinggalan semasa Perang Dunia Kedua dan bahan lain yang boleh mengancam keselamatan.
Dalam perkembangan sama, Mohammad Rafee menambah, sebuah Unit CBRNE PDRM telah ditempatkan di IPD Lipis bagi tujuan operasi pemusnahan bom dan ancaman bahan berbahaya lain di daerah kawasan Pahang Barat.
“Unit CBRNE di sini bukan sahaja menangani operasi kejadian ancaman tersebut di Lipis, tetapi penugasan turut merangkumi daerah Bentong, Raub, Cameron Highlands dan Jerantut.
“Sebelum ini Unit CBRNE dan UPB cuma ditempatkan di Kuantan akan mengambil masa bagi melaksanakan sesuatu operasi di Pahang Barat memandangkan jarak perjalanan yang jauh termasuk lokasi sekiranya berlaku ancaman tersebut,” katanya.
Beliau berkata, PDRM sudah menempatkan anggota Unit CBRNE dan UPB yang cukup terlatih di IPD Lipis termasuk mesin robot, drone dan peralatan tertentu serta dalam kesiapsiagaan sepenuhnya untuk menangani ancaman setiap masa.
Persenjataan
Sementara itu, Ketua Polis Lipis, Azli Mohd. Noor berkata, latihan atau program validasi yang dijalankan oleh CBRNE untuk membantu anggota unit persenjataan termasuk peralatan UPB yang sudah ditempatkan di IPD Lipis.
“Pemilihan IPD di sini untuk menempatkan anggota CBRNE terlatih dan mahir aspek persenjataan memang tepat pada masanya kerana kedudukan unit ini (CBRNE) berdekatan dengan daerah lain di Pahang Barat,” katanya.
Mengulas latihan dikelolakan unit CBRNE dengan kaki tangan Pejabat Daerah Lipis, Azli berkata, aktiviti tersebut amat relevan dan signifikan bagi kakitangan kerajaan hatta orang ramai sekalipun untuk mengetahui tugas Polis Di Raja Malaysia (PDRM) menangani secara profesional membabitkan senjata seperti bom lama dan sebagainya.
“Kehadiran Timbalan Ketua Polis Pahang, DCP Datuk Mohd Yusri Hassan Basri yang melawat program latihan UPB di Penjom Gold Mine, Empang Jaleh menyuntik semangat anggota unit CBRNE dan IPD Lipis menjalankan tugas nanti.
“Penghargaan yang sama juga kepada pegawai dan anggota unit CBRNE, Jabatan Logistik dan Teknologi, Bukit Aman dengan memilih Lipis sebagai program validasi berasaskan latihan dalam usaha kesiapsiagaan mendepani pelbagai ancaman jenayah menggunakan peralatan dan bahan yang canggih pada masa akan datang,” ujarnya. – UTUSAN










