PUTRAJAYA: Hampir 100 peratus perkhidmatan ambulans swasta tidak ubah seperti van jenazah apabila perkhidmatan itu tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan terutama mempunyai pembantu perubatan (MA) ketika membawa pesakit ke fasiliti kesihatan.
Perkara itu didedahkan Presiden Persatuan Pembantu Perubatan Malaysia, Mustafa Abdul Majid yang mengulas mengenai kes-kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar fasiliti kesihatan atau brought-in-dead (BID) di Malaysia sejak kebelakangan ini.
“Sangat teruk apabila ambulans dalam misi membantu orang sakit tidak ubah seperti van jenazah iaitu kosong hanya ada pemandu. Sepatutnya ambulans ada perkakas asas untuk MA terus memberi rawatan awal kepada pesakit,” Kata beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Menurut beliau, ketika ini, dianggarkan terdapat kira-kira 1,200 buah ambulans di Malaysia dengan 25 peratus diuruskan pihak swasta termasuk hospital persendirian dan organisasi sukarela tempatan.
Mustafa berkata, kewujudan ambulans yang gagal mematuhi SOP itu bukan perkara baharu malah sudah lama berlaku kerana operator swasta tidak mampu menggaji MA bertauliah.
“Ketika ini, hanya ada 20,000 MA di negara ini dan jumlah itu tidak cukup kerana unjuran ideal sepatutnya kena ada tambahan 10,000 MA menjelang 2030,” katanya.
Kata beliau, situasi bertambah buruk apabila sebahagian besar MA yang dikeluarkan 13 institusi pengajian swasta lebih cenderung memilih bertugas dengan kerajaan disebabkan gaji lebih baik dan mempunyai jaminan masa depan.
“Senario itu mengakibatkan hanya ada 3,000 MA berkhidmat di sektor swasta dan ramai yang kemudian turut berhenti dengan ada yang sanggup menganggur kerana tidak tahan dengan upah tidak berbaloi dengan kerja,” jelasnya.
Kesan rantaian
Situasi berkenaan memberi kesan rantaian apabila ambulans bukan di bawah Kementerian Kesihatan cuma ada seorang MA atau langsung tiada sesiapa menjaga pesakit sepanjang mangsa dibawa ke hospital.
Mengulas lanjut kata Mustafa, ambulans swasta yang gagal menyediakan dua MA ketika membawa pesakit menyalahi Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 atau di bawah Akta 586.
“Malangnya tiada siapa peduli meskipun hukuman denda maksimum jika sabit kesalahan sehingga RM300,000 atau dipenjara sehingga enam tahun,” katanya.
Selain itu, katanya, masyarakat juga tidak prihatin dengan ketidakpatuhan pengendali ambulans yang tidak menyediakan MA kerana bagi mereka pesakit kena dibawa secepat boleh ke hospital.
“Padahal ikut SOP, pesakit itu perlu dirawat terus di lokasi sama ada di rumah atau tempat kemalangan dan bukan diangkut kelam-kabut naik ambulans.
Justeru katanya, kenderaan itu sepatutnya lengkap dengan pelbagai peralatan perubatan terkini untuk MA dapat bertugas merawat pesakit sepanjang perjalanan dan bukannya kosong seperti van jenazah.
Beliau berpengalaman bertugas di Amerika Syarikat memberi contoh program televisyen 911 yang pernah popular di negara ini pada awal 1990-an memaparkan realiti MA dalam ambulans.
“Sebab itu jumlah BID di Barat jarang kerana nyawa pesakit waima membabitkan kes Covid-19 atau apa sahaja perlu diberi rawatan awal di kawasan kejadian tanpa perlu dihantar ke hospital kecuali sakit serius,” katanya. – UTUSAN







