LUMUT: Pemuda Amanah Negeri Perak memandang serius masalah tunggakan gaji di sebuah syarikat kurier yang semakin parah sehingga menyebabkan berlaku peletakan jawatan beramai-ramai pekerjanya yang tular dalam media sosial.
Pengarah Komunikasinya, Mohd. Ikhmal Mohd. Iskandar berkata, peletakan jawatan itu dibuat rentetan daripada kegagalan syarikat tersebut membayar gaji mengikut tempoh yang ditetapkan.
“Insiden ini bukan sahaja menyusahkan para pekerja malah menyusahkan peniaga dan pembeli yang menggunakan perkhidmatan kurier daripada syarikat tersebut.
“Malah, tular di media-media sosial, ramai pembeli terpaksa mengambil sendiri bungkusan mereka di tempat pengumpulan dan terdapat kejadian bungkusan mereka hilang serta tidak dapat dikesan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sehubungan itu, Mohd. Ikhmal yang juga bekas Penyelidik Institut Pengangkutan Malaysia (MITRANS) sekali lagi mendesak Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa untuk campur tangan bagi memastikan hak pengguna dan hak pekerja tetap dibela.
Jelas beliau, kekalutan yang timbul di atas segala kejadian itu perlu ditangani segera apatah lagi ramai peniaga tempatan sangat bergantung kepada syarikat kurier tersebut dalam menghantar bungkusan kepada pelanggan mereka.
“Moga ada jalan penyelesaian terhadap kekalutan ini yang memberi kesan kepada pekerja bawahan dan pengguna perkhidmatan kurier tersebut,” katanya.
Awal bulan ini, parti tersebut mendesak kerajaan campur tangan menyelesaikan isu tunggakan gaji syarikat kurier tersebut yang tular dalam media sosial. – UTUSAN










