KUALA LUMPUR: Kerajaan menyifatkan terdapat keperluan untuk menjalankan kajian secara terperinci bagi menentukan kesesuaian penggubalan satu akta atau undang-undang khusus berkaitan pembaharuan semula bandar.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, ini kerana tiada perundangan yang khusus bagi pelaksanaan pembangunan semula bandar di negara ini.
Katanya, kementeriannya melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) setakat ini telah menyediakan garis panduan pelaksanaan pembaharuan semula bandar (urban renewal).
“Walaupun satu bentuk perundangan masih tidak wujud, tetapi banyak program pembaharuan semula bandar telah dilaksanakan sejak tahun 2000 lagi. Ia melibatkan pelaksanaan oleh pihak swasta bagi kawasan pembaharuan semula bandar yang menghasilkan pulangan ekonomik yang sewajarnya.
“Bagi kawasan atau bangunan usang yang tiada membawa pulangan ekonomik kepada pihak swasta, maka kerajaan boleh mempertimbangkan satu bentuk atau kaedah pembaharuan semula bandar bagi mengelak kawasan atau bangunan terus merosot serta menimbulkan isu urban decay.
“Oleh demikian, kita berpendapat terdapat keperluan untuk menjalankan kajian secara terperinci bagi menentukan kesesuaian penggubalan satu undang-undang khusus berkaitan pembaharuan semula bandar,” katanya dalam waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) berhubung strategi kementerian dalam memperkenalkan program dan perundangan berhubung pembangunan semula bandar (urban renewal) untuk menangani isu keusangan flat-flat lama di bandar yang perlu dibangunkan semula.
Tambah Reezal, dalam menangani isu bangunan usang khususnya yang melibatkan skim strata, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) sedang menggubal pindaan terhadap Akta Hakmilik Strata 1985 (Akta 318) berkaitan persetujuan pemilik petak serta tatacara penamatan skim strata bagi membolehkan pembinaan semula bangunan.
Namun, katanya, keperluan untuk mewujudkan akta pembaharuan semula bandar timbul selepas berlakunya beberapa kes.
“Antara aspek paling mustahak adalah soal pengambilan tanah. Ini terbukti apabila berlaku isu urban renewal seperti di Kerinchi dan Razak Mansion. Kalau Razak Mansion mudah untuk dibangunkan semula kerana di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) namun di Kerinchi mengambil masa yang agak panjang kerana pemilikan strata telah dipecah milik kepada individu.
“Penggubalan akta ini juga berkait tujuh atau lapan akta lain seperti Kanun Tanah Negara, Akta 318, Akta Pengurusan Strata 2013, Akta Pengambilan Tanah 1960, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976, ia merangkumi fungsi kementerian yang agak rentas.
“Oleh itu, kementerian sedang mengadakan penilaian impak perundangan sebagai permulaan ke arah penggubalan undang-undang baharu yang bersifat rentas, konklusif dan komprehensif untuk melaksanakan pembaharuan semula bandar,” katanya.
Ketika ditanya oleh Datuk Seri Salim Sharif (BN-Jempol) mengenai langkah kementerian mengatasi isu 3,519 perumahan lama yang usang, Reezal Merican berkata, pihaknya akan menggunakan Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM) untuk menguruskan perumahan berkenaan.
“Memang ada sekitar 3,519 skim perumahan yang tiada badan pengurusan bersama serta jawatankuasa pengurusan dan keadaan kediaman strata ini dalam keadaan amat usang.
“Saya bangkitkan di kementerian saya dan Kementerian Kewangan bahawa ada keperluan untuk peruntukan TPPM ditambah bagi memungkinkan flat seperti ini dibantu kerajaan,” katanya. – UTUSAN










