AIU mahu lahir ramai tokoh seperti Syed Mokhtar 

AIU mahu lahir ramai tokoh seperti Syed Mokhtar 

MUHAMMAD Yunus ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Al-Bukhary International University (AIU) yang julung kali diadakan di Alor Setar, Kedah, semalam. - FOTO/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU) komited dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik malah kebajikan manusia sejagat yang dikaitkan dengan perniagaan sosial iaitu teras universiti ini. 

Canselornya, Prof. Muhammad Yunus berkata, segulung ijazah yang dimiliki tiada bererti jika graduan tidak menggunakan semua ilmu yang dipelajari sepanjang pengajian untuk merubah kehidupan orang lain terutama yang memerlukan.

Sehubungan dengan itu, kelahiran sulung graduan AIU hari ini diharapkan mampu membawa perubahan dalam bidang pendidikan dan perniagaan sosial yang menjadi terasnya, katanya.

“AIU mahu lahirkan ramai tokoh seperti Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary yang juga pengasasnya. AIU diwujudkan untuk mendidik individu yang mempunyai misi, aspirasi serta mereka yang akan menjadi pemimpin masa depan dan pembuat perubahan di seluruh dunia.

“Silibus akademik bagi universiti adalah manifestasi yang jelas dengan objektif ini iaitu fokus keutamaannya adalah perniagaan sosial iaitu untuk kebajikan manusia sejagat.

“Pengagihan kekayaan tidak adil ketika ini terutama selepas pandemik melanda. Yang kaya bertambah kaya, yang miskin bertambah miskin. Jurang jadi sangat jauh dan ini mengecewakan. Atas alasan itu seluruh kami berharap graduan-graduan ini dapat melakukan suatu perubahan untuk merapatkan semula jurang ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Pertama AIU di sini hari ini.

Kata beliau, sebagai Canselor, beliau berharap graduan AIU dapat mengamal dan melaksanakan model perniagaan sosial yang dipelajari sepanjang pengajian pada masa depan.

“Saya menerima tawaran untuk berkhidmat di sini kerana tertarik dengan misi dan visi pengasasnya, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary. Saya bangga terima tanggungjawab ini. 

“Ini kerana dunia memerlukan generasi muda yang hebat untuk menghadapi segala macam kemelut dunia termasuk peperangan. 

“Tamadun kemanusiaan adalah sangat signifikan dengan pembelajaran untuk menyediakan generasi muda hari ini yang mampu membuat perubahan termasuk mengelak peperangan dan kemusnahan moral diri yang berleluasa,” katanya.

Katanya, graduan harus memberi tumpuan dalam memanfaatkan ilmu yang dipelajari di AIU dengan kreativiti sendiri dan mengubah kehidupan daripada mengejar kebendaan semata-mata kepada pembangunan sosial perniagaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya