PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas pemain hoki kebangsaan, S.Sivabalan yang meninggal dunia semalam.
Istana Negara menerusi catatan di akaun Facebook berkata, Seri Paduka menzahirkan rasa sedih dengan pemergian mendiang dan berharap seluruh keluarga mendiang sabar serta tabah menghadapi dugaan dalam suasana sedih serta pilu ini.
Turut menzahirkan ucapan takziah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
“Seri Paduka amat menghargai khidmat bakti, jasa serta pengorbanan mendiang kepada negara dan menyifatkan pemergian mendiang sebagai satu kehilangan besar kepada sukan hoki negara,” menurut kenyataan itu lagi.
Sivabalan yang berusia 59 tahun rebah ketika menyertai satu acara hoki veteran di Ipoh dan tidak sedarkan diri semasa berhenti rehat pada pukul 3.30 petang.
Mendiang kemudian disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan Hospital Raja Permaisuri Bainun.
Sivabalan mewakili skuad hoki kebangsaan pada era 80-an dan turut bermain untuk pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada era 90-an yang dikenali sebagai Kelab Kilat. – UTUSAN