SEREMBAN: Tindakan meminta peserta misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) menandatangani surat permohonan pelepasan segera sebelum ke Gaza adalah langkah diplomatik senyap bagi mempercepatkan proses pembebasan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, surat itu bukan tanda menyerah kalah, sebaliknya strategi diplomasi berasaskan kebijaksanaan dan pengalaman misi terdahulu.
“Ramai salah faham dan mengkritik seolah-olah kita tunduk kepada Israel. Ini bukan soal tunduk, tetapi soal kebijaksanaan diplomatik.
“Proses perundangan di Israel sangat rumit dan boleh mengambil masa lama. Dengan menandatangani surat itu, peserta mengakui memasuki wilayah Israel tanpa kebenaran sekali gus membolehkan mereka diusir lebih cepat dan dibawa pulang dengan selamat,” katanya pada Karnival Mawlid Masjid Sheikh Haji Ahmad 2025 di Bandar Sri Sendayan, semalam.
Katanya, semua 23 rakyat Malaysia yang ditahan telah dibebaskan hasil kerjasama erat dengan kerajaan Turkiye.
Katanya, mereka berada dalam keadaan sihat dan menunggu urusan kepulangan ke tanah air yang sedang diselaraskan oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan bantuan Kedutaan Malaysia di Turkiye.
“Kedutaan kita mengurus semua dokumentasi termasuk bagi yang kehilangan pasport.
“Saya juga telah menghubungi Setiausaha Negara serta Timbalan Setiausaha Negara Amerika Syarikat bagi membantu memastikan keselamatan dan kelancaran urusan ini. Rakan-rakan ASEAN di Tel Aviv turut memberi jaminan bantuan,” katanya. – UTUSAN










