Perdana Menteri sampaikan syarahan di Oxford tahun depan

Perdana Menteri sampaikan syarahan di Oxford tahun depan

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersama para tetamu kenamaan yang hadir pada makan malam Pusat Pengajian Islam Oxford (OCIS) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju untuk menyampaikan syarahan di Oxford pada awal 2026, selepas menerima jemputan rasmi daripada Pusat Pengajian Islam Oxford (OCIS), baru-baru ini.

Jemputan itu diterima semasa OCIS meraikan ulang tahunnya yang ke-40 dengan satu majlis makan malam istimewa di ibu negara, pada 29 September lalu.

Menerusi kenyataan akhbar, syarahan itu sebagai penghargaan terhadap hubungan rapat Malaysia dan Asia dengan OCIS, khususnya dalam mempromosikan ekonomi dan kewangan Islam.

OCIS ditubuhkan pada 1985 untuk memupuk pemahaman yang lebih mendalam tentang Islam dan dunia Islam melalui ilmiah dan kerjasama akademik antarabangsa.

Berpusat di Oxford, United Kingdom, capaian antarabangsa OCIS kini merangkumi Asia, Afrika, Eropah dan Amerika.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah merangkap Naib Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah OCIS, menjadi tuan rumah majlis makan malam tersebut sebagai penghormatan kepada para pemegang amanah dan tetamu kenamaan yang hadir.

Dalam ucapan yang dimuatkan dalam buku Malaysia and the Centre, baginda menyatakan rasa bangga atas hubungan erat antara Malaysia dan OCIS.

“Ramai kerabat diraja telah me­lawat pusat ini dan beberapa orang Perdana Menteri turut menyampaikan syarahan di sana.

“Malaysia diwakili secara fizikal di pusat ini melalui Auditorium Malaysia yang indah.

“Banyak biasiswa dinamakan sempena tokoh-tokoh terkemuka dari negara ini. Kerjasama akademik juga telah terjalin antara cendekiawan Malaysia dan Oxford,” titah baginda.

Biasiswa OCIS dinamakan sempena tokoh-tokoh terkenal dari seluruh dunia. Antara tokoh terkemuka dari Malaysia yang menjadi nama biasiswa tersebut ialah: Almarhum Sultan Azlan Shah; Sultan Nazrin Shah; Tun

Abdul Razak; Tun Dr Mahathir Mohamad; Tan Sri Mohammed Noah dan Tan Sri Azman Hashim.

Yayasan Albukhary dan Pejabat Komanwel dan Pembangunan Luar Negeri UK turut menyokong program biasiswa ini.

Sultan Nazrin bertitah sempena sambutan ulang tahun ke-50 kemerdekaan Malaysia, OCIS dan Khazanah Nasional telah menubuhkan Merdeka Scholarships yang membolehkan ramai rakyat Malaysia melanjutkan pelajaran di Oxford.

Baginda turut menyentuh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah mengadakan sesi rundingan meja bulat tahunan yang sangat dihargai dalam bidang kewangan Islam bersama OCIS sejak 16 tahun lalu. Malaysia diiktiraf sebagai peneraju global dalam kewangan Islam.

Majlis makan malam itu turut dihadiri oleh Presiden ke-11 Republik Türkiye, Dr Abdullah Gül dan Perdana Menteri ke-10 Kuwait, Sheikh Dr Mohammed Al-Sabah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×