GEORGETOWN: Empat lelaki tempatan yang aktif mengedar dadah jenis syabu dan heroin di daerah Timur Laut di sini, diberkas polis dalam enam serbuan pada 2 Mac lalu.
Dalam operasi bermula pukul 12 tengah hari sehingga tengah malam itu, polis merampas dadah jenis heroin serta syabu yang keseluruhannya seberat 4.2 kilogram (kg) bernilai RM79,116.
Difahamkan, kesemua dadah itu diperoleh daripada pihak lain sebelum suspek-suspek yang merupakan pengganggur berusia 21 hingga 31 tahun membungkus dan mengedarkannya semula kepada pembeli.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, dalam serbuan pertama, polis menahan seorang lelaki berusia 31 tahun yang disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah jenis syabu dan heroin di kawasan tempat letak kereta di hadapan sebuah pasaraya di Sungai Dua, kira-kira pukul 12 tengah hari.
“Susulan penahanan suspek pertama, polis membuat serbuan kedua di rumah flat di kawasan Sungai Dua dan menahan seorang lagi lelaki berumur 31 tahun. Hasil pemeriksaan di situ, kita merampas tiga paket plastik mengandungi 960 gram dadah jenis heroin,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, di sini hari ini.
Menurut Soffian, hasil soal siasat dan dipandu arah oleh suspek pertama dan kedua, polis seterusnya membuat serbuan ketiga di sebuah rumah flat di Paya Terubong.
“Polis kemudian merampas sembilan peket mengandungi 3,349.5 gram heroin serta 11 paket syabu (291 gram) dan sindiket berkenaan didapati menjadikan rumah tersebut sebagai tempat menyimpan dadah berkenaan sebelum menjualnya,” katanya.
Tambah beliau, serbuan keempat pula dibuat di tempat letak kereta di sebuah flat di Paya Terubong dan polis kemudiannya menahan seorang lagi lelaki berusia 21 tahun.
“Daripada hasil soal siasat, polis menyerbu sebuah stor di kawasan yang sama serta merampas heroin yang siap dibungkus sebanyak 332 gram dan 179 gram syabu disembunyikan di situ,” katanya.
Soffian menambah, dalam serbuan keenam, polis menahan seorang lelaki berusia 28 tahun di sini, namun tiada sebarang dadah bersamanya.
“Kesemua dadah yang dirampas ini boleh digunakan oleh 25,557 penagih dan polis turut menyita empat buah kenderaan dan pelbagai barang kemas daripada suspek yang kesemuanya bernilai RM65,445,” katanya.
Dalam pada itu katanya, tiga lelaki yang ditahan didapati positif dadah dan mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah dan mereka dipercayai terlibat dalam kegiatan tersebut sejak 2013 selain pernah ditahan beberapa kali sebelum ini.
“Kesemua suspek kini ditahan reman sehingga 9 Mac ini dan kes disiasat menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN