29 berjaya tamatkan kursus asas 69 Komando 

29 berjaya tamatkan kursus asas 69 Komando 

RAZARUDIN Husain memakaikan beret kepada peserta yang berjaya menamatkan kursus asas 69 Komando di Trong dekat Bukit Gantang, Perak, hari ini. - FOTO/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT GANTANG: Seramai 29 pelatih berjaya menamatkan kursus asas 69 Komando selama lima bulan di Markas Latihan Luar Cawangan Latihan Peperangan Khas 69 Komando di Hutan Lipur Sungai Nyior, Trong, dekat sini hari ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata, seramai 284 pelatih lulus sesi pemilihan awal namun hanya 117 peserta layak melaporkan diri mengikuti kursus asas tersebut.

“Daripada jumlah tersebut, hanya 103 peserta yang terdiri daripada empat pegawai kanan polis dan 99 pegawai rendah melaporkan diri untuk hadir di kursus asas ini. Namun begitu, hanya 29 pegawai rendah polis yang berjaya menamatkan kursus ini,” katanya.

Beliau berucap pada Pentauliahan Beret dan Penutupan Kursus Asas 69 Komando Siri 1/2021 di Markas Latihan Luar Cawangan Latihan Peperangan Khas 69 Komando di Trong, dekat sini hari ini.

Menurut Razarudin, pasukan 69 Komando memiliki keupayaan melaksanakan penugasan yang melibatkan isu-isu keselamatan dan ketenteraman awam dengan lebih versatile.

Beliau berkata, pasukan itu merupakan sebuah unit yang mempunyai kualiti dan standard yang tersendiri.

“Memiliki daya tahan yang tinggi ketika melaksanakan operasi dan gerakan yang berpanjangan dalam hutan serta memiliki kemahiran tempur yang tinggi. Ini jelas dibuktikan dengan berbagai kejayaan dalam pertempuran menumpaskan pengganas komunis pada siri-siri yang lalu,” katanya.

Beliau percaya pasukan itu telah bersedia dengan pelbagai siri latihan berterusan bagi meningkatkan kemahiran pasukan dalam peperangan Grid Warfare.

Katanya, ini menjadikan 69 Komando terus relevan dan mampu diatur gerak melalui udara, darat dan laut bagi menangani sebarang krisis keganasan.

“Pasukan 69 Komando akan terus dipastikan mendapat perhatian dan keutamaan dalam perolehan persenjataan, peralatan khas dan aset-aset bagi mengimbangkan kualiti sumber manusia dan kelengkapan persenjataan serta aset yang bersesuaian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya