PUTRAJAYA: Sebanyak 25 daripada 54 kematian penerima dos penggalak yang lengkap disiasat tidak mempunyai kaitan dengan vaksin tersebut.
Pengarah Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Dr. Roshayati Mohamad Sani berkata, pihaknya menerima 54 laporan Kesan Advers Susulan Imunisasi (AEFI) melibatkan kematian dalam kalangan penerima vaksin dos penggalak yang memerlukan penyiasatan dan penilaian Jawatankuasa Khas Farmakovigilans Vaksin Covid-19 (JFK).
Menurut beliau, JFK menjalankan penilaian ke atas 25 laporan yang lengkap penyiasatan dan didapati tiada hubung kait dengan vaksin manakala bakinya 29 kes lagi masih dalam siasatan.
“Malah, melalui pelaporan AEFI dalam kalangan penerima dos penggalak direkodkan berjumlah 1,448 bersamaan kadar 94 laporan bagi setiap sejuta dos yang menjelas menunjukkan ia adalah lebih rendah daripada kadar keseluruhan pelaporan AEFI iaitu 378 bagi setiap sejuta dos,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Roshayati berkata, daripada jumlah laporan AEFI yang diterima bagi dos penggalak ini, hanya 115 laporan atau 7.9 peratus diklasifikasikan sebagai serius bersamaan kadar 7.5 laporan bagi setiap juta dos.- UTUSAN