ALOR SETAR: Sebanyak 201 kes baharu varian membimbangkan (VOC) dilaporkan di negeri ini yang membabitkan varian Beta, Delta dan Omicron sehingga 12 Februari lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman, kes baharu VOC bagi varian Beta yang direkodkan dalam tempoh tersebut adalah sebanyak 14 kes.
Menurutnya, sebanyak 12 kes dikesan di daerah Kota Setar dan masing-masing satu kes di daerah Kuala Muda dan Kubang Pasu.
Sementara itu, katanya, kes baharu varian Delta pula sebanyak 149 kes dilaporkan melibatkan Baling 15 kes, Kota Setar (24 kes), Kuala Muda (32 kes), Kubang Pasu (16 kes), Kulim (28 kes), Langkawi (16 kes), Pendang (tujuh kes), Sik (lapan kes) dan masing-masing satu kes di Bandar Baharu, Padang Terap serta Yan.
“Kes baharu varian Omicron yang dicatatkan adalah sebanyak 38 kes iaitu Baling sebanyak dua kes, Kota Setar (empat kes), Kuala Muda (11 kes), Kubang Pasu (enam kes), Kulim (lima kes), Yan (tujuh kes) dan masing-masing satu kes di Bandar Baharu, Pendang dan Sik,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Zamri Yusuf (PKR-Suka Menanti) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini hari ini.
Selain itu, Dr. Mohd. Hayati memberitahu, peratus penggunaan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) didapati rendah kerana lebih 95 peratus kes adalah kategori satu dan dan dua yang perlu dikuarantin di rumah.
“Bagaimanapun kes yang berisiko tinggi seperti hamil dan mempunyai ko-morbiditi ditempatkan di PKRC,” ujarnya. – UTUSAN










