BACHOK: Bahagian Multimedia Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan menerbitkan 2,000 judul karya tempatan yang dicetak sejak 1958 dalam bentuk digital interaktif untuk bacaan secara maya.
Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran berkata, pelaksanaannya sudah bermula sejak Januari lalu dan bahan digital tersebut dijangka dapat disiapkan hujung tahun ini.
Menurutnya, bahan digital itu diterbitkan dengan persembahan dan paparan menarik supaya generasi alaf baharu yang tidak lekang dengan telefon pintar serta gajet turut berminat membacanya.
“Sesuai dengan gaya hidup baharu, bahan-bahan bacaan ini boleh diakses menerusi laman Jendela DBP yang menampilkan kembali karya lama yang sudah tidak ada di pasaran.
“Usaha ini diharap dapat mendekatkan generasi baharu dengan genre kesusasteraan, kronologi penceritaan dan puisi. Penghasil atau penulis asal bahan yang diterbitkan juga akan turut menerima bayaran royalti,” katanya.
Beliau ditemui ketika menghadiri Majlis Kembara Titah Kelantan yang disempurnakan oleh Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz di Universiti Malaysia (UMK) Bachok, di sini hari ini.
Yang hadir sama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMK, Prof. Ts. Dr. Arham Abdullah.
Turut berlangsung, Program Kayuhan Komuniti yang menyaksikan Tengku Mohamad Rizam selaku Pro-Canselor UMK mengayuh basikal ke Masjid Mukim Neman, Masjid Mukim Kuala Melawi dan Masjid Mukim Repek untuk menyerahkan bantuan kepada golongan asnaf. – UTUSAN