1MDB: Mungkin tanggapan saya mengenai Najib salah - Utusan Malaysia

1MDB: Mungkin tanggapan saya mengenai Najib salah

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Mungkin tanggapan saya mengenai Najib salah”.

Itu jawapan yang diberikan oleh bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tan Sri Ismee Ismail ketika disoal mengenai reaksi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika dimaklumkan mengenai arahan untuk menggantung penerbitan bon RM5 bilion Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) pembiayaan projek pembangunan Pulau Bidong.

Jawapan tersebut diberikan ketika disoal balas oleh peguam bela Ahli Parlimen Pekan itu, Datuk Hariharan Tara Singh selepas ditunjukkan sepucuk surat daripada Setiausaha Sulit Istana Terengganu kepada Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang menunjukkan bahawa Najib ingin menggantung penerbitan bon berkenaan.

“Jika berdasarkan surat ini, mungkin tanggapan saya terhadap Datuk Seri Najib adalah salah,” katanya dalam perbicaraan kes Najib yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 billion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram pada jumlah wang yang sama.

Selain itu, Ismee turut bersetuju dengan cadangan Hariharan bahawa pertemuan dengan Najib di kediamannya di Langgak Duta yang turut disertai bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi diadakan hanya kerana penerbitan bon itu mempunyai kaitan dengan jaminan kerajaan.

Bekas pengarah bukan eksekutif itu juga bersetuju dengan cadangan peguam bela bahawa pada ketika itu Najib bukan wakil pemegang saham TIA dan tidak berada dalam kedudukan untuk membuat keputusan.

Ketika membaca penyataan saksinya pada prosiding terdahulu, Ismee menyatakan beliau beranggapan bahawa Najib mahu terbitan bon RM5 bilion itu diteruskan seperti yang dirancang walaupun telah diberitahu mengenai titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin agar penerbitan bon itu ditangguhkan.

“Respons pertama Najib adalah, ‘why did you sign it (resolusi untuk menangguhkan penerbitan bon)?” katanya, dan menambah Najib turut mempersoalkan mengapa mereka tidak memohon kepada Sultan Mizan untuk memberikan masa untuk berfikir.

TIA adalah syarikat pelaburan strategik yang kemudian ditukar nama kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 25 September 2009.

TIA pada mulanya mahu membangunkan Pulau Bidong di Terengganu sebagai tempat pelancongan baharu negeri itu. Pulau itu pernah menjadi tempat perlindungan pelarian Vietnam dari 1970-an hingga 1990-an.

Pada prosiding hari ini juga, Ismee bersetuju dengan cadangan Hariharan bahawa Shahrol Azral telah melanggar arahan untuk menangguhkan penerbitan apabila tetap meneruskan perkara tersebut.

Hariharan: Awak setuju bahawa Shahrol Azral tidak mematuhi arahan mengenai penangguhan bon RM5 bilion itu?

Ismee: Ya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya