PUTRAJAYA: Seramai 15 pendaki wanita negara memulakan misi menakluk Everest Base Camp (EBC) bermula hari ini hingga 23 Mac ini selepas dua tahun tertangguh akibat pandemik Covid-19 dan pintu sempadan ditutup.
Misi dikenali Mount Everest Base Camp Mountaineering De Femina 2022 itu unik kerana ia membawa semangat wanita negara sempena Hari Wanita 2022 yang disambut hari ini.
Majlis pelepasan misi disempurnakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun di Balai Pelepasan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pagi ini.
Rina berkata, peserta ekspedisi itu bukan sahaja membawa semangat wanita negara, malah bakal mengharumkan nama Malaysia.
Beliau berkata, misi ini juga bertepatan dengan tema Hari Wanita 2022 iaitu Saksama Bersama sekali gus membuktikan wanita negara juga mampu melakukan apa sahaja.
“Semangat dan motivasi yang dibawa pendaki wanita ini akan menjadi inspirasi kepada wanita lain,” katanya.
Katanya, beliau juga dimaklumkan, kumpulan ini akan membentangkan baju bersaiz 250 XL di EBC sekali gus memecah rekod Malaysia Book Of Records.
Sementara itu, Ketua Misi, Prof Madya Dr Farha Abdol Ghapar berkata, misi ini dianjurkan oleh Pertubuhan Nadi Sihat selain turut membawa nama Kolej Universiti Poly-Tech MARA (KUPTM) Kuala Lumpur.
Beliau yang juga Pensyarah Kanan, Fakulti Perniagaan, Perkakaunan & Sains Sosial KUPTM berkata, misi sejauh 130 kilometer bakal mengambil masa selama12 hari.
“Kami sepatutnya berlepas dua tahun lalu, namun misi ditangguhkan akibat pandemik dan sempadan ditutup.
“Kami juga sudah memulakan latihan pendakian sejak 2019 termasuk di Filipina dan Gunung Kinabalu,” katanya.
Katanya, misi ini disertai kakitangan dan pelajar KUPTM selain penjawat awam berusia antara 22 hingga 56 tahun. –UTUSAN










