PETALING JAYA: M-Hope dengan kerjasama Persatuan Sukan, Rekreasi dan Kesihatan Kuala Lumpur (SURE Sihat) serta Cengild GI Medical Centre (CGI) menghulurkan sumbangan awal sebanyak RM348,000 untuk menanggung 12 pesakit obes menjalani pembedahan bariatrik secara percuma.
Pengasas M-Hope, Dr. Mustafa Mohammed Taher yang juga Pakar Perunding Pembedahan dan Bariatrik berkata, pihaknya mendapati ramai pesakit obes tidak menjalani pembedahan tersebut kerana masalah kewangan.
Katanya, perkara itu lebih menyedihkan apabila pesakit berisiko mendapat penyakit metabolik seperti diabetik, tekanan darah tinggi, masalah kardiovaskular dan diserang penyakit jantung.
“Kekangan kewangan itu menyebabkan mereka tidak berpeluang menjalani kehidupan normal seperti orang lain.
“Berat badan berlebihan juga menyebabkan mereka mengalami obesiti tahap serius yang seterusnya memudaratkan kesihatan tanpa rawatan sepatutnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Dr. Mustafa, keadaan sedemikian tidak sepatutnya berlaku kerana semua insan berhak menjalani rawatan untuk hidup sihat.
“Pesakit wajar diberi peluang kedua untuk hidup lebih sihat dan cergas bersama keluarga tersayang selepas menjalani pembedahan,” katanya.
Katanya, inisiatif murni itu diinspirasikan daripada bapanya yang juga seorang doktor yang mana klinik percuma dibuka pada setiap hari Jumaat dan pesakit mendapat rawatan percuma.
“Projek awal ini diharap dapat dimanfaatkan mereka yang begitu memerlukannya. Sebelum ini saya mengambil inisiatif secara persendirian menawarkan rawatan percuma kepada pesakit kurang berkemampuan.
“Kini pelbagai pihak tampil membantu bagi membolehkan lebih ramai pesakit dapat dibantu, sekali gus merealisasikan penubuhan M-Hope,” jelasnya.
Pembedahan bariatrik adalah prosedur terbaik dan selamat untuk pesakit obes. Rawatan moden ini dilihat sebagai peluang kedua yang memberi nafas baharu kepada mereka untuk hidup lebih sihat dan cergas selepas menjalani pembedahan. – UTUSAN