PETALING JAYA: Polis mengeluarkan kompaun berjumlah RM108,000 dalam serbuan terhadap pusat hiburan di Cheras Business Centre dekat sini, yang dikesan beroperasi ketika tempoh pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Empat, tengah malam tadi.
Kompaun dikenakan terhadap seramai 108 pengunjung dan pengurus permis dalam serbuan kira-kira 12.15 tengah malam itu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, kompaun dikeluarkan mengikut Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 kerana terbabit dengan aktiviti hiburan.
Menurutnya, dalam serbuan itu, polis turut menahan pengurus dan dua pekerja warga asing yang bekerja tanpa permit sah.
“Pemeriksaan mendapati premis hiburan itu menjalankan perniagaan dan menjual minuman keras tanpa lesen sah serta menggajikan pekerja asing tanpa permit sah.
“Kesemua yang ditahan berusia antara 26 hingga 42 tahun dan semakan mendapati mereka tiada rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan 1992, Seksyen 76 Akta Eksais 1976, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1)(c) Imigresen 1959 (Pin 2002).
Ujar beliau, turut dirampas empat peralatan audio serta lima botol minuman keras pelbagai jenama.- UTUSAN