DALAM beberapa tahun kebelakangan ini, isu kos sara hidup semakin menjadi topik utama perbincangan rakyat dan pembuat dasar di Malaysia.
Walaupun ekonomi negara menunjukkan tanda-tanda pemulihan dan kadar inflasi rasmi dilaporkan terkawal, realiti yang dihadapi isi rumah menceritakan kisah yang berbeza.
Harga barangan keperluan harian terus meningkat, sementara pendapatan rakyat pula tidak berkembang pada kadar yang sama.
Keadaan ini menimbulkan tekanan berpanjangan terhadap kuasa beli, khususnya di kawasan bandar dan dalam kalangan pekerja berpendapatan rendah serta sederhana.
Dalam konteks inilah muncul persepsi meluas bahawa rakyat kini terhimpit dari dua arah, kenaikan harga dan kelembapan pertumbuhan upah.
Namun, pemerhatian yang lebih mendalam menunjukkan masalah sebenar bukan terletak pada salah satu faktor secara terasing, tetapi pada jurang yang semakin melebar antara kos sara hidup yang meningkat dan upah sebenar yang gagal mengejar kenaikan tersebut.
Pakar Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Prof. Emeritus Barjoyai Bardai berkata, gaji minimum RM1,700 sebulan tidak mencukupi di bandar utama, walaupun mungkin agak memadai di luar bandar dalam keadaan perbelanjaan sangat ketat.
“Kerangka Belanja Asas Hidup Munasabah (PAKW) menunjukkan individu bujang bandar memerlukan sekurang-kurangnya RM2,300 sebulan manakala sebuah keluarga memerlukan hampir RM5,000.
“Ini bermakna gaji minimum hanya mengelakkan kemiskinan tegar, tetapi tidak menjamin taraf hidup yang bermaruah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam menangani kos sara hidup, Barjoyai berkata, kerajaan kini beralih daripada kawalan harga kepada subsidi bersasar.
Katanya, kajian menunjukkan sebahagian besar subsidi pukal sebelum ini dinikmati golongan T20, bukannya B40 dan M40.
“Pelaksanaan subsidi diesel bersasar sahaja telah menjimatkan sekitar RM4 bilion setahun, membuktikan keberkesanan fiskal pendekatan ini.
“Kawalan harga pula dilihat hanya sesuai sebagai langkah sementara kerana berisiko memutarbelit pasaran dan membebankan fiskal negara,” katanya.
Beliau berkata, golongan M40 kini berada dalam situasi ‘missing middle’.
“Mereka tidak lagi layak menerima banyak bantuan, tetapi menanggung kos kehidupan yang meningkat setara dengan golongan lain. Komitmen hutang perumahan, kenderaan dan pendidikan menjadikan tekanan kewangan lebih serius,” katanya.
Barjoyai berpandangan Indeks Harga Pengguna (CPI) juga dilihat gagal menggambarkan corak perbelanjaan sebenar rakyat, khususnya golongan bandar dan berpendapatan rendah.
“CPI dianggap kurang realistik kerana tidak cukup berat kepada komponen kritikal seperti sewa bandar, makanan luar rumah, pendidikan dan insurans.
“Selain itu, CPI hanya mengukur perubahan harga dari tahun ke tahun, bukan kesan kumulatif kenaikan harga lampau.
“Walaupun inflasi semasa rendah, harga kekal tinggi,” katanya.
Sementara itu, Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, kos sara hidup merangkumi makanan, sewa rumah, pengangkutan dan utiliti meningkat lebih pantas akibat inflasi global, gangguan rantaian bekalan serta kos input yang lebih tinggi.
“Walaupun kadar inflasi rasmi negara dilaporkan sederhana pada masa tertentu, kesannya tetap dirasai secara langsung dalam perbelanjaan harian rakyat,” katanya.
Mohd. Rizal berkata, pada masa yang sama, kenaikan upah pula berlaku secara perlahan dan tidak sekata.
“Banyak pekerjaan, khususnya dalam kategori berkemahiran rendah dan sederhana, tidak menikmati kenaikan gaji yang sepadan dengan peningkatan kos hidup.
“Keadaan ini mewujudkan tekanan berpanjangan terhadap kuasa beli isi rumah,” katanya.
Mohd.Rizal berkata, inflasi hanya mengambil kira beberapa komponen utama perbelanjaan isi rumah dan tidak sepenuhnya mencerminkan realiti kehidupan harian.
“Pemberat terbesar CPI tertumpu kepada makanan (sekitar 30 peratus), perumahan dan utiliti (24 peratus) serta pengangkutan (15 peratus).
“Namun, di bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang, kos sebenar khususnya sewa rumah dan pengangkutan ke tempat kerja, meningkat jauh lebih pantas dan sukar dikurangkan, menjadikan tekanan kos sara hidup lebih berat berbanding apa yang digambarkan oleh angka purata nasional,” katanya.
Beliau berkata, golongan M40 pula semakin tertekan walaupun tidak tergolong dalam kumpulan miskin. Namun, ada pandangan bahawa pengelasan B40 dan M40 semakin kurang relevan dan berpotensi menghalang mobiliti sosial. – UTUSAN










