Semakan berkala kadar upah bantu tampung perbelanjaan harian

Semakan berkala kadar upah bantu tampung perbelanjaan harian

GAMBAR HIASAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JURANG antara kadar kenaikan upah dan peningkatan kos sara hidup terus menjadi kebimbangan utama rakyat, khususnya dalam kalangan golongan berkeluarga dan berpendapatan rendah serta sederhana.

Malah, harga barangan ke­perluan harian terus meningkat, manakala kadar kenaikan gaji lambat atau tidak sekata, menjadikan ramai keluarga berpendapatan rendah dan sederhana terhimpit antara dua tekanan yang sukar diatasi.

Bagi Mohd. Zaini Othman, isi rumah kini terpaksa membuat pelbagai penyesuaian dalam perbelanjaan harian bagi mengimbangi kemampuan kewangan. 

“Antaranya termasuk menukar pilihan barangan, memilih lokasi pembelian yang lebih murah serta mengehadkan tujuan perbelanjaan agar kesan peningkatan kos sara hidup dapat dikurangkan.

“Bagi saya kadar upah asas dan mekanisme kenaikan gaji perlu disemak secara berkala oleh kerajaan dan majikan. 

“Langkah ini dilihat penting bagi mengelakkan kesan domino yang lebih besar terhadap golongan pertengahan dan berpendapatan rendah, sekiranya jurang antara harga dan pendapatan terus melebar,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Seorang lagi, Siti Aisyah Mohamed berkata, rakyat kini semakin terhimpit apabila peningkatan harga keperluan harian berlaku pada kadar yang lebih pantas berbanding kenaikan gaji.

“Walaupun pelbagai penyesuaian perbelanjaan telah dilakukan, ketidakseimbangan antara harga dan upah ini terus memberi cabaran kepada kelangsungan kehidupan seharian,” katanya.

Menurut beliau, harapan utama rakyat ialah agar pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati secara lebih inklusif melalui peningkatan pendapatan sebenar, bukan sekadar pertumbuhan angka makroekonomi.

“Sekiranya jurang antara kadar upah dan kos sara hidup dapat dirapatkan, kesejahteraan rakyat serta kestabilan sosial diyakini dapat diperkukuh secara berterusan,” katanya.

Beliau berpandangan, tanpa pembaharuan dasar yang memastikan pertumbuhan ekonomi diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan sebenar, tekanan kos sara hidup berisiko menjadi isu berpanjangan yang menjejaskan kesejahteraan rakyat dan daya tahan ekonomi negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN