PETALING JAYA: Nisbah pengamal pergigian di Malaysia ialah seorang doktor kepada 2,326 penduduk, menjadi salah satu faktor yang menyumbang kepada kekangan slot temu janji rawatan gigi, khususnya di kawasan padat seperti Lembah Klang.
Angka itu berdasarkan data terkini Kementerian Kesihatan (KKM) untuk 2024.
KKM memaklumkan kepada Utusan Malaysia, kedatangan pesakit dengan jumlah tinggi di kawasan bandar seperti Lembah Klang akan mempengaruhi masa menunggu pesakit untuk mendapatkan rawatan pergigian di fasiliti kesihatan kerajaan.
“Kepadatan penduduk dan kos sara hidup tinggi di Lembah Klang menjadikan permintaan rawatan pergigian meningkat, dan ini bukan disebabkan oleh birokrasi atau kekurangan sumber manusia,” katanya.
Sebelum ini, akhbar ini melaporkan, tempoh menunggu bagi mendapatkan rawatan gigi di klinik kerajaan didakwa mencecah sehingga setahun, sekali gus mencetuskan rungutan pengguna apabila mereka terpaksa beralih ke klinik swasta dan menanggung kos rawatan yang jauh lebih tinggi.
Sistem temu janji di beberapa klinik pergigian kerajaan sering menawarkan tarikh rawatan yang lewat, sekali gus menyukarkan pesakit yang mengalami kesakitan untuk mendapatkan rawatan segera.
Semakan di beberapa klinik swasta mendapati kos rawatan asas seperti mencabut gigi boleh mencecah sehingga RM90 sebatang dan tampalan sekitar RM80, berbanding hanya RM1 di klinik kerajaan.
Dalam pada itu, Malaysia menyasarkan nisbah seorang pengamal pergigian kepada 1,500 penduduk menjelang 2030 selaras agenda Universal Health Coverage (UHC) nasional.
Mengulas sasaran itu, jurucakap Hartal Doktor Kontrak berkata, ia boleh dicapai sekiranya kerajaan memperbanyakkan usaha menarik minat para pelajar menyambung pelajaran dalam bidang pergigian.
Katanya, nisbah tidak boleh dilihat daripada segi angka semata-mata, sebaliknya perlu merangkumi agihan doktor gigi di sektor kerajaan dan swasta.
“Sekiranya nisbah tercapai, namun kebanyakan doktor bekerja di sektor swasta pun tidak bagus kerana ramai rakyat marhaen mungkin akan terbeban dengan kos perkhidmatan di swasta,” katanya.
Sementara itu, KKM berkata, wujud kekeliruan mengenai paparan notifikasi pada sistem temu janji yang menyatakan tiada slot tersedia atau no slot available yang mana ia bermaksud slot baharu belum dibuka, bukannya tiada slot untuk ditempah.
Katanya, dakwaan yang menyatakan tempoh menunggu rawatan sehingga setahun adalah kurang tepat kerana sistem temu janji tidak dijadualkan untuk setahun.
“Sebagai makluman, slot temu janji pesakit dibuka untuk tempahan untuk tempoh minimum 60 hari.
“Oleh itu, KKM amat memahami kesulitan yang dihadapi dan sedang giat untuk menambah baik sistem tersebut dengan kerjasama Bahagian Kesihatan Digital KKM.
“Walaupun temu janji menjadi kaedah utama, pesakit walk-in (datang terus), khususnya bagi kes kecemasan, warga emas dan juga bagi yang mempunyai kekangan mendapat temu janji melalui sistem MySejahtera masih diterima, manakala mereka dengan temu janji diberi keutamaan mengikut slot ditetapkan,” katanya. – UTUSAN











