AYER HITAM: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan peguamnya telah menghantar surat saman kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Oleh itu katanya, semua pihak boleh menyemak dengan Pengerusi Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Presiden Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu sama ada beliau berbohong atau sebaliknya.
“Saya telah mengarahkan peguam saya untuk hantar letter of demand (LOD) atau surat saman kepada Muhyiddin dan Tun Mahathir.
“Dua surat saman dihantar minggu lepas dan jika individu katakan bahawa saya tidak menghantar, maka peguam saya telah menghantar surat itu dari firma guamannya.
“Saya minta orang itu tanya sendiri kepada dua pemimpin itu sama ada saya bohong atau sudah terima LOD,” ujarnya kepada pemberita selepas program Presiden UMNO bersama Calon Parit Raja.
Beliau mengulas mengenai tular dalam media sosial apabila seorang individu mendakwa Ahmad Zahid berbohong dan sanggup menjadi saksi bagi pihak Dr. Mahathir sekiranya kes itu dibawa ke mahkamah.
Dr. Mahathir juga sebelum ini mendedahkan Ahmad Zahid pernah meminta bantuan melepaskan dirinya daripda tuduhan mahkamah yang dihadapi.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menafikan pernah mengeluarkan hantaran di media sosial bahawa beliau akan melakukan sumpah laknat di Masjid Pagoh.
Beliau sebaliknya meminta mana-mana pemimpin untuk tampil menyatakan perkara sebenar dan tidak menggunakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai medan memburukkan individu.
“Tetapi, saya minta kalau individu itu bercakap benar untuk sumpah laknat. Saya tahu saya tak pernah jumpa dia bawa fail tuduhan kes mahkamah.
“Taktik lama (burukkan individu) telah ditolak oleh rakyat, jangan guna kaedah lama untuk tundukkan pihak musuh,” jelasnya. – UTUSAN