Wujudkan 8,686 perjawatan perubatan tetap mulai Jun 2021

Wujudkan 8,686 perjawatan perubatan tetap mulai Jun 2021

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pendedahan Utu­san Malaysia mengenai nasib 23,000 pegawai perubatan kontrak yang berlarutan sejak 2016 pada Jun tahun lalu membuahkan hasil apabila kerajaan bersetuju sejumlah 4,186 jawatan tetap tambahan diwujudkan di Kementerian Kesihatan.

Ia bagi tujuan melantik seramai 3,586 pegawai perubatan, 300 pegawai pergigian dan 300 pegawai farmasi bermula Jun tahun ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ia adalah sebahagian daripada 8,686 perjawatan tetap tambahan melibatkan tiga kumpulan pegawai kementerian itu yang akan diwujudkan bermula tahun ini sehingga 2025.

Beliau berkata, keputusan itu dipersetujui dalam mesyua­rat Jemaah Menteri pada 19 Januari lalu yang membentangkan satu memorandum bagi membincangkan tentang Tawaran Baharu berhubung ke­perluan perjawatan tetap tambahan serta hala tuju pelaksanaan inisiatif bagi menangani isu-isu kesihatan.

“Sekurang-kurangnya 1,500 jawatan tetap Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi diwujudkan di KKM pada setiap tahun mulai tahun 2023 hingga 2025.

“Selain itu, sebanyak 800 jawatan tetap Pakar Perubatan dan 70 Pakar Pergigian diwujudkan di KKM pada setiap tahun mulai tahun 2023 bagi menampung keluaran pakar perubatan tetap di fasiliti kesihatan di bawah KKM,” katanya dalam sidang akhbar semalam.

Terdahulu, sekumpulan pegawai perubatan kontrak mewakili 23,000 kalangan perjawatan itu memberi kata dua kepada kerajaan untuk melakukan hartal atau mogok pada 26 Julai 2021 jika masih tiada jalan penyelesaian isu pelantikan tetap mereka.

Dalam pada itu, Khairy berkata, pelan hala tuju juga sedang dibangunkan KKM bersama agensi dan kementerian yang berkaitan bagi mencari penyelesaian jangka masa pendek, sederhana dan panjang dalam kemelut berhubung pegawai lantikan kontrak ini.

“Antaranya, menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Sarjana Muda Perubatan (SMP) dan Sarjana Muda Pembedahan Pergigian (SMPP) bagi mengoptimumkan kapasiti penawaran program dan mengawal kua­liti graduan serta menilai dan mengemas kini senarai Jadual Kedua Akta Perubatan 1971.

“Selain itu, melaksanakan Peperiksaan Kelayakan Profesional bagi menangani isu kualiti dan kompetensi gra­duan dan memperkukuhkan Program Pengajian Kepakaran Kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata, pada 14 Julai lalu, Jemaah Menteri telah bersetuju supaya pegawai perubatan yang menamatkan tempoh khidmat wajib disambung kontrak semula bagi tempoh dua tahun bagi kesinambungan perkhidmatan dan persediaan pengajian kepakaran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN