Warga emas hilang ditemui tinggal tengkorak - Utusan Malaysia

Warga emas hilang ditemui tinggal tengkorak

MYKAD milik mangsa yang ditemui polis di tanah lapang bersebelahan sebuah hotel di Jalan Tengkera, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Misteri kehilangan seorang warga emas berusia 87 tahun terjawab selepas tengkorak berbentuk kepala manusia ditemui di tanah lapang bersebelahan sebuah hotel di Jalan Tengkera di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan di tempat kejadian menemukan kad pengenalan (MyKad) seorang lelaki berbangsa Cina dalam dompet  di poket seluarnya  berdekatan rangka dijumpai.

Beliau berkata, semakan mendapati penama pernah dilaporkan hilang oleh anak saudaranya pada 31 Januari lalu.

“Polis menerima panggilan daripada seorang pekerja kedai tayar, beritahu terjumpa tengkorak berbentuk kepala manusia di tanah lapang bersebelahan sebuah hotel di Jalan Tengkera.

“Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah bersama pasukan siasatan dan D9 telah pergi ke tempat kejadian untuk membuat siasatan.

“Penama MyKad dikatakan tinggal seorang diri di alamat seperti yang tertera pada kad pengenalan serta mempunyai masalah pelupa kerana  tua,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Christopher, polis percaya tengkorak dan rangka yang ditemui adalah milik penama tersebut. 

Jelasnya, penama disyaki berjalan kaki dari rumahnya yang tidak jauh dari tempat kejadian, berkemungkinan telah terjatuh di kawasan semak lantas meninggal dunia. 

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut memandangkan siasatan awal tidak menemui sebarang petunjuk kepada unsur jenayah. Tengkorak dan rangka yang ditemui akan dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk siasatan lanjut,” ujarnya.- UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN