Warga emas ditemukan meninggal dunia di belakang bank - Utusan Malaysia

Warga emas ditemukan meninggal dunia di belakang bank

SEORANG warga emas ditemui meninggal dunia di belakang premis sebuah bank dalam kejadian di pekan Rembau petang tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Seorang lelaki warga emas ditemukan meninggal dunia di belakang sebuah premis bank dalam kejadian di pekan Rembau di sini petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.35 petang itu, Yahya Tahir, 81, yang beralamat di Kampung Baru Senama Tengah disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang tiba di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Hazri Mohamad berkata, berdasarkan pemeriksaan awal pada tubuh badan mangsa didapati tiada kecederaan seperti luka, pendarahan atau kesan dipukul.

“Semasa pemeriksaan mendapati mulut si mati mengeluarkan air berwarna hitam disyaki air kopi. Di tempat kejadian juga tidak menemukan apa-apa senjata atau peralatan yang menjurus kepada unsur-unsur jenayah.

“Menurut saksi iaitu pemilik kedai makan berdekatan, mangsa datang ke kedainya dan memesan minuman kopi dan selepas itu, mangsa mengatakan keadaan di dalam kedai panas dan ingin pergi ke luar kedai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hazri berkata, mangsa membawa minuman dan pergi sebelah kedai makan tersebut dan semasa duduk di tangga, mangsa tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri.

Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut sementara menunggu laporan ujian Covid-19 dan bedah siasat yang akan dijalankan di Unit Forensik Hospital Rembau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN