PETALING JAYA: Cubaan seorang wanita melarikan sebuah kereta milik pasangan suami isteri tidak kesampaian apabila dia akhirnya diberkas orang awam selepas terbabit dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Setapak Central dekat sini petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, suspek berusia 38 tahun ditahan orang awam selepas melarikan sebuah Honda City di hadapan Kolej Vokasional Setapak di Jalan Genting Klang dekat sini.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, pada mulanya, pemilik kereta berkenaan bersama isteri keluar dari kereta tanpa mematikan enjin ketika mengangkat barang anak mereka di kolej berkenaan.
Kata beliau, suspek kemudiannya masuk ke dalam kenderaan itu sebelum melarikan kenderaan ke pusat bandar.
“Pemilik kereta kemudiannya meminjam motosikal pengawal keselamatan di kolej berkenaan, untuk membuat laporan polis dan mencari keretanya.
“Setibanya di persimpangan lampu isyarat di hadapan Setapak Central, mangsa dapati kereta miliknya itu terbabit dalam kemalangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata Ashari, hasil semakan polis mendapati wanita berkenaan mempunyai 14 rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.
“Suspek ditahan mengikut Seksyen 379 A dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana curi kenderaan dan memandu dengan gopoh di jalan awam,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ashari berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menularkan video itu yang boleh mendatangkan kegusaran awam.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian itu boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana Balai Polis berhampiran untuk membantu siasatan,” katanya.
Terdahulu, tular video berdurasi satu 1 minit 31 saat mengenai sebuah kenderaan merempuh orang awam.
Orang awam yang berada di tempat kejadian terpaksa memecahkan cermin kereta selepas pemandunya cuba merempuh beberapa kenderaan lain di persimpangan terbabit. – UTUSAN