PETALING JAYA: Pembukaan pintu sempadan antara Malaysia dan Thailand dijangka bermula menerusi aturan Laluan Perjalanan Vaksin (VTL) melalui udara antara kedua-dua negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setakat ini beliau dan rakan sejawatnya Prayut Chan-o-Cha bersetuju agar perbincangan di peringkat agensi dipergiat untuk membuka semula sempadan dalam masa terdekat melalui skim VTL bagi Malaysia atau Test & Go bagi Thailand.
Katanya, skim VTL juga dikembangkan untuk pembukaan sempadan darat melalui Bukit Kayu Hitam dan Sadao termasuk semua Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di utara semenanjung dan Selatan Thailand di samping VTL laut antara Langkawi-Satun.
“Ini sudah tentu dapat membantu memulihkan semula jaringan ekonomi dan perniagaan antara kedua-dua pihak terutamanya untuk sektor pelancongan.
“Selain itu , kami juga telah berbincang tentang projek kesalinghubungan Malaysia -Thailand iaitu pembinaan jajaran jalan menghubungkan kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam dan CIQ Sadao,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, pembinaan jambatan persahabatan kedua merentasi Rantau Panjang- Sungai Golok, dan jambatan baharu untuk Pengkalan Kubor-Tak Bai turut dibincangkan untuk disegerakan.
Beliau berkata, kedua-dua negara telah bersetuju agar agensi berkaitan dapat menyegerakan pembinaan projek ini bagi kelancaran pergerakan rakyat dan barang barang di antara kedua-dua negara.
Di samping itu, beliau dan rakan sejawatnya turut mengulangi komitmen untuk meningkatkan kerjasama Malaysia dan Thailand di bawah kerangka Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) terutamanya, melalui pelaksanaan Projek Kesalinghubungan Fizikal (PCP) dan kepentingan kerjasama dalam Pertanian dan Industri Asas Tani, Pelancongan serta Produk dan Perkhidmatan Halal bagi merealisasikan Wawasan IMT-GT 2036. – UTUSAN