MELAKA: Setelah belajar membaca al-Quran lebih 30 tahun, timbul minat dalam diri seorang Cina Muslim dari Tianshui, Gansu di China untuk mempelajari seni tulisan khat.
Ketika ditemui Utusan Malaysia, Pengerusi Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) China, Yusuf Liu Baojun berkata, beliau mengambil masa 10 tahun untuk memahirkan diri dengan khat yang begitu sinonim dengan dunia Arab.
Menurutnya, beliau tidak pernah mendapat latihan formal dan hanya mempelajarinya berdasarkan bacaan buku-buku berkaitan tulisan itu.
Menulis khat
“Pada mulanya memang sukar untuk menulis khat kerana mempunyai lenggok tangan, kreativiti dan langkah-langkah tertentu bagi menghasilkan sebuah karya yang baik.
“Tetapi dengan usaha dan latihan berterusan, saya kini mahir menulis khat dalam lima bahasa iaitu Melayu jawi, Jepun, Cina, Arab dan Uighur.
“Hanya dua tahun kebelakangan ini saya mula yakin untuk menunjukkan demostrasi penulisan khat kepada umum dengan ciri-ciri dan identiti sendiri. Khat yang sudah siap akan dihantar ke China untuk dibingkaikan kerana negara itu mempunyai kepakaran khusus untuk mengendalikannya. Kemudian, ia akan dihantar ke Malaysia semula untuk dijual.
“Alhamdulillah, pasaran khat di negara ini memang ada dan harga jualan bermula daripada puluhan hingga ribuan ringgit. Saya pernah menjual karya kepada seorang kenamaan dengan nilai RM2,000,” katanya ketika ditemui.
Nama Yusuf Liu tidak asing di Malaysia kerana dikenali melalui penulisan dan penerbitan lebih daripada 27 buah buku ilmiah sejak 1992, selain pernah dilantik ke jawatan penting di beberapa universiti awam.
Tambahnya, penulisan khat Melayu jawi lebih mudah jika penulisnya sudah menguasai khat Arab.
Tulisan Jawi
Jelasnya, tulisan Jawi itu sendiri sudah lama wujud dan dipinjam daripada bahasa Arab dengan sedikit perbezaan huruf kerana disesuaikan dengan Bahasa Melayu.
“Saya sendiri belajar Bahasa Melayu dan kemudian cuba menulis semula dalam Jawi. Saya biasanya menulis khat mengenai peribahasa dan pantun Melayu tetapi ada juga permintaan daripada pelanggan untuk menulis nama mereka dalam tulisan khat,” jelasnya.
Dalam pada itu, lulusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menyarankan golongan muda mengambil peluang untuk mempelajari kesenian tersebut.
Katanya, mereka boleh mendalami ilmu agama sambil mempelajari khat yang mana ia dapat melahirkan generasi yang kompeten, kreatif dan kritis.- UTUSAN










