BELURAN: Tujuh lelaki dipercayai ditahan bersama senjata api kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti pemburuan haram di Jalan Nangoh-Paitan berdekatan sempadan Hutan Simpan Paitan, awal pagi semalam.
Ketua Konservator Hutan, Datuk Frederick Kugan berkata, kesemua individu tersebut ditahan dalam sebuah pacuan empat roda semasa Operasi Anti Poaching kira-kira 1.10 pagi.

Beliau berkata, semasa anggota Unit Protect Jabatan Perhutanan Sabah (SFD) membuat rondaan menerusi operasi itu, didapati sebuah kenderaan berada dalam keadaan mencurigakan.
Apabila pemeriksaan dilakukan, anggota penguat kuasa menemukan dua laras senjata api dan beberapa butir peluru di dalam kenderaan berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua suspek gagal menunjukkan sebarang permit untuk memburu hidupan liar dan tiada lesen pemilikan senjata api.
“Namun, pemeriksaan yang dilakukan tidak menemukan sebarang bangkai binatang buruan dalam kenderaan.
“Justeru, satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Beluran dan kesemua tahanan dan barang rampasan diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Dalam pada itu, Frederick menasihatkan orang awam supaya tidak melakukan aktiviti memburu hidupan liar sekiranya tiada pemit yang sah.
Beliau berkata, aktiviti memburu secara haram adalah satu kesalahan dari segi undang-undang dan boleh mengakibatkan kepupusan spesies hidupan liar yang disenaraikan sebagai spesis terancam seperti banteng atau tembadau.
Jelas beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat tentang aktiviti pemburuan hidupan liar secara haram dinasihatkan untuk membuat laporan kepada Jabatan Perhutanan Sabah dan Jabatan Hidupan Liar untuk tindakan UTUSAN