Tindakan tegas premis gagal patuhi piawaian kebersihan

Tindakan tegas premis gagal patuhi piawaian kebersihan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Pihak berkuasa khususnya Jabatan Kesihatan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan perlu memainkan peranan dengan bertindak tegas ke atas pemilik-pemilik premis yang tidak mematuhi piawaian kebersihan seperti yang telah ditetapkan.

Pengerusi Keilmuan Nasional Pulau Pinang, Azdy Mohd. Arshad berkata, selain itu, para pemilik premis perniagaan juga perlu bersikap jujur dan bertanggungjawab dalam berniaga.

“Pemilik premis atau penjual perlu mengisytihar dengan jujur status makanan yang dijual sama ada halal ataupun tidak.

“Mereka haruslah lebih sensitif terhadap pengguna khususnya  yang beragama Islam yang mana sekiranya makanan yang disediakan itu tidak halal, ia tidak dibeli atau dimakan oleh pengguna Islam.

“Pihak berkuasa juga perlu memainkan peranan dengan bertindak tegas kepada pemilik premis yang didapati ingkar,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Utusan Malaysia semalam menyiarkan laporan mengenai isu keselamatan dan kebersihan makanan di mana sepanjang tahun lalu, sebanyak 150 serbuan dijalankan oleh Unit Penguatkuasaan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), Jabatan Kesihatan Pulau Pinang ke atas premis-premis makanan di seluruh negeri ini.

Mengulas lanjut, Azdy berkata, bagi pengguna khususnya sebagai seorang Islam, menjadi satu tuntutan dalam agama untuk memastikan makanan yang dimakan adalah halal dan bersih.

“Dalam bab makanan khususnya di zaman ledakan media sosial ini, kita kadang-kala terlalu mengikut trend atau budaya tular sehingga mengenepikan soal makanan halal dan bersih.

“Sebagai contoh, anak muda hari ini menggemari makanan Korea atau makanan Jepun yang dijual di restoran atau premis makanan di pusat membeli-belah dan sebagainya,” katanya.

Namun katanya, sebelum menikmati hidangan atau makanan tersebut, umat Islam hendaklah memastikan bahan yang digunakan untuk penyediaan makanan tersebut adalah daripada sumber yang halal dan bersih.

“Halal dan bersih itu bukannya pada status tular atau ramainya orang yang memakan makanan tersebut tetapi suatu perkara yang perlu kita teliti dan mengambil berat.

“Ini kerana mencari yang halal itu adalah kewajipan setiap Muslim dan aspek kebersihan juga adalah sangat penting dalam memastikan kesihatan tubuh badan,” katanya. UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN