Sudirman, artis perpaduan yang tiada tolok banding - Utusan Malaysia

Sudirman, artis perpaduan yang tiada tolok banding

SOIB Harun (kanan) menziarah pusara Allahyarham Sudirman Arshad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Cengal di Temerloh, Pahang. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad diperakui sebagai artis perpaduan yang tiada tolok bandingnya kerana diminati pelbagai etnik di negara ini.

Perkara itu ditegaskan Tokoh Budaya dan Warisan Melayu Malaysia, Prof. Datuk Dr. Aripin Said sempena 30 tahun pemergian Allahyarham.

Menurutnya, sambutan luar biasa konsert terbuka di Jalan Chow Kit pada 14 April 1986 dikunjungi sehingga dipenuhi dengan lebih 100,000 orang penonton satu rekod industri negara.

“Kebolehan Sudirman menyanyikan lagu pelbagai bahasa seperti Inggeris, Mandarin, Tamil dan lain-lain dengan baik satu kelebihan mendekati peminat. Perwatakan Sudirman seorang yang sopan, tutur kata mesra, menyantuni dan menghormati orang lebih tua seperti golongan artis veteran, penulis, budayawan dan sasterawan.

“Saya pernah beberapa kali terserempak dengan Sudirman di Temerloh, Kuantan dan Kuala Lumpur, tetapi Allahyarham tetap mengajak bersembang sambil minum di restoran terdekat,” katanya.

Semalam, tanggal 22 Februari atau 20 Rejab 1443 Hijrah, merupakan tarikh pemergian penyanyi nombor satu Asia itu ke-30 tahun.

Sehingga kini, Allahyarham yang pernah merakamkan 15 album dan 52 album kompilasi dengan puluhan lagu ‘hits’ terus dikenang oleh rakyat sebagai Penghibur Rakyat, Penghibur Nasional.

Walaupun sudah 30 tahun pemergian Allahyarham pada 22 Februari 1992 ketika berusia 37 tahun tetapi tiada pengganti ‘serupa dengannya’ walaupun ramai penyanyi baharu muncul daripada beberapa pertandingan stesen televisyen.

Jiwa seni, empati dan lagu-lagu patriotik nyanyian Sudirman tetap ‘malar segar’ di hati peminat generasi baharu.

Lagu-lagu malar segar dan patriotik seperti Salam Terakhir, Chow Kit Road, One Thousand Million Smiles, Terasing, Balik Kampung, Bila Wajahmu Ku Bayangkan, Merisik Khabar, Pelangi Petang, Salam Terakhir dan Penyu Menangis.

Sempena tarikh pemergiannya, Utusan Malaysia melakukan tinjauan di pusara Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Kampung Cengal di sini, semalam.

Pusara ‘rumah persinggahan abadi Allahyarham’ biasa-biasa sahaja dibuat daripada batu sungai tidak seperti martabatnya sebagai penyanyi rakyat.

Seorang anak jati Temerloh, Soib Harun, 65, berkata, bakat luar biasa Sudirman merupakan anugerah Allah SWT kepada rakyat Pahang khususnya Temerloh, seharusnya pusaranya dinaik taraf.

“Tidak keterlaluan juga jika ia diangkat sebagai produk pelancongan agama di negara ini,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Cengal di sini.

Soib yang ada kaitan saudara dengan keluarga Sudirman turut mencadangkan kerajaan negeri menaik taraf sebuah lagi pusara ikon Temerloh, Allahyarham Ishak Haji Mohamad atau lebih dikenali sebagai Pak Sako di Tanah Perkuburan Islam Kampung Buntut Pulau di sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya