PETALING JAYA: Polis akan membuka siasatan tatatertib ke atas anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju yang menayangkan gari ketika memandu kereta Proton Persona di Jalan Tun Razak, di sini, sehingga tular di media sosial.
Mengesahkan perkara itu, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Azri Ahmad berkata, siasatan berkenaan akan dijalankan di peringkat IPD di mana tempat dia bertugas.
Dalam pada pada itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, individu terbabit adalah anggota berpangkat Lans Koperal dan bertugas di IPD berkenaan.
Kata beliau, Siasatan tatatertib dibuka atas salah laku dari aspek disiplin dan integriti.
“Saya sahkan anggota itu dari IPD Wangsa Maju berpangkat Lans Koperal,” katanya di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan polis sedang menyiasat penularan video memaparkan pemandu kereta menayangkan gari ketika melalui jalan raya di sekitar pusat bandar.-UTUSAN