PTPTN distruktur semula – Zambry

PTPTN distruktur semula – Zambry

ZAMBRY Abd. Kadir menyampaikan bantuan persekolahan pada Program Kembali ke Sekolah di Manjung, Lumut, Perak, semalam. – UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Penstrukturan semula pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak menjejaskan kelayakan peminjam untuk memohon pinjaman perumahan pada masa hadapan seperti didakwa sesetengah pihak.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Ka­dir berkata, tindakan tegas hanya akan diambil terhadap peminjam yang langsung tidak berusaha menghubungi PTPTN atau memaklumkan kedudukan kewangan mereka.

“Tidak (dakwaan sukar mohon pinjaman). Yang kita ambil tindakan ini ialah kepada mereka yang langsung tidak pernah membuat tindakan (rundingan bersama PTPTN),” katanya kepada pemberita pada Program Kembali ke Sekolah bersama Menteri Pendidikan Tinggi di Dewan Merdeka Majlis Perbandaran Manjung, di sini semalam.

Pada program itu, seramai 900 pelajar daripada keseluruhan 1,350 penerima di Parlimen Lumut menerima sumbangan kelengkapan sekolah membabitkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM300,000.

Hadir sama Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Menurut Zambry, kerajaan mengamalkan pendekatan ber­teraskan konsep keihsanan da­lam pengurusan bayaran balik pinjaman PTPTN kerana tidak mahu rakyat merasakan tuntutan itu sebagai satu tekanan besar terhadap mereka.

Katanya, mana-mana peminjam yang menghadapi masalah kewangan boleh berunding de­ngan PTPTN supaya penyusunan semula bayaran balik dapat dibuat mengikut kemampuan serta keadaan semasa mereka.

“PTPTN sentiasa membuka pintu untuk mereka, tapi ma­salah yang berlaku, mereka langsung tidak pernah datang memaklumkan keberadaan dan kedudukan mereka.

“Bagi mereka yang membayar, adakalanya mereka mempunyai kesulitan, jadi mereka boleh datang untuk berbincang. Saya telah maklumkan kepada pihak PTPTN dan Ketua Pengarahnya ada di sini, beliau boleh mengesahkan dari segi arahan kerajaan supaya ruang perbincangan itu diberikan,” katanya.

Sementara itu, dalam per­kembangan berlainan, Zambry berkata, Skim Simpanan Pen­didikan Nasional (Simpan SS­PN) menca­tatkan prestasi memberangsangkan apabila sim­panan setakat ini mencecah hampir RM22 bilion melibatkan kira-kira tujuh juta akaun.

Katanya, pencapaian itu men­cerminkan tahap kesedaran tinggi dalam kalangan ibu bapa untuk menabung bagi pendidikan jangka panjang anak-anak.

“Dari segi jumlah simpanan, kita tidak menetapkan had mi­nimum. Boleh mula menabung serendah RM20, jika mempu­nyai lebihan wang, mereka boleh menambah simpanan pada bila-bila masa, sama ada secara bulanan atau harian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN