Biasiswa BAek PTPTN: Bantu pelajar miskin

Biasiswa BAek PTPTN: Bantu pelajar miskin

MUHAMMAD AZRI FARHAN MOHD. AZIRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 10,000 pelajar daripada keluarga miskin bakal menerima manfaat inisiatif biasiswa atau pendidikan percuma Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerusi Biasiswa Anak eKasih PTPTN (BAeK PTPTN).

Inisiatif itu dilaksanakan bagi memastikan tiada pelajar yang layak tercicir daripada melanjutkan pengajian ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) disebabkan kekangan kewangan.

PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus komited memperluas akses pendidikan tinggi selaras aspirasi kerajaan dalam membangunkan modal insan berdaya saing.

Terdahulu, menerusi pembentangan Belanjawan 2026 pada 10 Oktober 2025, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan inisiatif biasiswa atau pendidikan percuma PTPTN melibatkan 5,800 anak keluarga miskin yang mengikuti pengajian di IPTA dengan peruntukan RM120 juta setahun.

Menerusi pengumuman terkini di bawah Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035, jumlah penerima inisiatif tersebut ditingkatkan kepada 10,000 pelajar daripada keluarga miskin.

Melalui pelaksanaan BAeK PTPTN, pinjaman PTPTN diberikan dalam bentuk biasiswa kepada pelajar miskin dan miskin tegar yang berdaftar dalam pangkalan data eKasih.

Inisiatif itu terbuka kepada pelajar yang mengikuti pengajian peringkat diploma atau ijazah sarjana muda secara sepenuh masa di IPTA mulai 1 Januari 2026.

Pelajar ditawarkan biasiswa sebanyak RM4,750 setahun bagi peringkat diploma.

Bagi peringkat ijazah sarjana muda pula, pelajar bidang sastera ditawarkan RM6,180 setahun manakala pelajar bidang sains menerima RM6,650 setahun.

Inisiatif itu membuktikan komitmen dan keprihatinan kerajaan dalam memastikan latar belakang sosioekonomi bukan penghalang kepada peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Sementara itu, penerima Biasiswa BAeK PTPTN, Muhammad Azri Farhan Mohd. Aziran berkata, beliau amat bersyukur apabila terpilih sebagai salah seorang penerima biasiswa berkenaan.

Pelajar Sarjana Muda Ukur Bahan dengan Kepujian dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berkata, bantuan tersebut bukan sahaja menggembirakan dirinya, malah turut memberi kelegaan kepada keluarganya.

“Pertama sekali, syukur alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana terpilih sebagai salah seorang penerima Biasiswa BAeK.

“Saya sangat gembira termasuk keluarga apabila mendapat tahu menerima biasiswa ini kerana ia dapat membantu mengurangkan kebimbangan tentang kos pembelajaran, sekali gus membolehkan saya memberi tumpuan sepenuhnya dalam pelajaran,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Azri, Biasiswa BAeK PTPTN memberi manfaat besar kepada pelajar dan keluarga, khususnya dalam mengurangkan beban kewangan seperti yuran pengajian dan keperluan harian.

“Untuk jangka panjang pula, biasiswa ini membuka lebih banyak peluang kepada pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan untuk menamatkan pengajian dengan lebih yakin,” katanya.

Beliau turut menyifatkan usaha KPT dan PTPTN melaksanakan inisiatif itu sebagai langkah prihatin terhadap kebajikan pelajar, khususnya mereka yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah.

“Insya-Allah, saya akan menggunakan peluang ini sebaik mungkin dengan belajar bersungguh-sungguh, mencapai keputusan cemerlang dan menjadi individu yang dapat memberi manfaat kepada keluarga, masyarakat serta negara pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN