BERMULA dengan modal kecil dan semangat tinggi, Sally Basir telah membina jenama makanan ringan Pop Rice Salis sejak 2019, menjadikannya antara pilihan popular di pasaran tempatan.
Beliau yang merupakan Pengarah SAS Food Sdn. Bhd. (Binarich Enterprise) berkata, pengurusan perniagaan secara berhemah, termasuk kawalan kos dan penggunaan sumber secara optimum pada peringkat awal, membantunya mengembangkan perniagaan dengan stabil.
“Pendekatan ini membolehkan perniagaan saya berkembang secara konsisten serta meluaskan pasaran ke pasar raya besar dan membuka potensi pasaran luar negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Seiring perkembangan pasaran, Pop Rice Salis kini turut menggunakan platform media sosial seperti TikTok untuk membina jenama, meningkatkan keterlihatan dan membuka pasaran baharu.
“Saya melihat perubahan paling besar ialah penerimaan jenama Salis di pasaran terbuka dan kemampuan untuk menyesuaikan strategi pemasaran secara luar talian dan dalam talian..
“Platform digital ini menyumbang sekitar 20 hingga 30 peratus peningkatan jualan berbanding jualan secara luar talian.
“Perniagaan saya juga mencatat hasil stabil dengan pertumbuhan tahunan positif, walaupun keadaan ekonomi semasa mempengaruhi prestasi pasaran sedia ada,” ujarnya.
Sally berkata, permulaan perniagaan makanan ringan itu berpunca daripada peningkatan permintaan pasaran terhadap makanan sedia dimakan yang berkualiti dan konsisten.
“Saya melihat peluang untuk menghasilkan produk yang tersusun, mematuhi piawaian keselamatan makanan dan berpotensi berkembang ke pasaran lebih luas.
“Perniagaan ini didorong oleh visi jangka panjang untuk membina jenama makanan yang mampan dan berdaya saing.
“Dengan pengalaman dalam pengeluaran, perancangan perniagaan dan pengurusan pasukan, saya memberi tumpuan kepada kualiti produk, pematuhan piawaian serta strategi pengembangan pasaran.
“Latar belakang ini membentuk saya sebagai individu berdisiplin, berorientasikan hasil dan sentiasa terbuka kepada pembelajaran baharu,” jelasnya.
Kini, produk Pop Rice Salis boleh didapati di pasar raya besar seperti Aeon Mall Malaysia, MYDIN, ST Rosyam Mart, dan Seibu Department Store TRX.
Beliau juga mengakui cabaran getir yang dihadapi, termasuk pengurusan pengedaran dan aliran tunai pada fasa awal perniagaan.
“Cabaran terbesar ialah mengurus pengedaran, aliran tunai dan mengekalkan perniagaan supaya terus kompetitif.
“Bagaimanapun, saya menstruktur semula perancangan operasi, mengawal kos pengeluaran dengan lebih ketat dan memperkukuh hubungan dengan rakan pengedaran.
“Selain itu, saya menambah baik perancangan kewangan dan aliran kerja bagi memastikan operasi perniagaan kekal stabil,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan sokongan keluarga, pasukan, rangkaian profesional dan komuniti, kerana dorongan moral dan kepercayaan mereka memberi kesan besar terhadap kejayaannya.
Sally menasihati generasi muda agar berani mengambil risiko secara bijak, sentiasa belajar dan tidak mudah berputus asa.
“Pengurusan kewangan yang rapi, adaptasi kepada perubahan pasaran, pemanfaatan teknologi digital dan mengekalkan konsistensi kualiti adalah kunci kejayaan.
“Integriti, inovasi dan konsistensi adalah asas untuk memastikan perniagaan berkembang dan kekal relevan,” katanya. – UTUSAN










