PUTRAJAYA: Seramai 8,120 guru baharu bagi pengambilan khas secara one-off yang berjaya dalam temuduga Fasa 2 dan 3 boleh mula membuat semakan penempatan bermula semalam.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Radzi berkata, guru-guru berkenaan akan mula melapor diri di sekolah masing-masing pada 1 Mac ini.
Menurutnya, beliau merakamkan ucapan tahniah kepada mereka yang berjaya dan selamat bertugas.
“Manfaatkanlah peluang menjadi guru untuk bekerja setulus hati ke arah melahirkan generasi pewaris negara yang lebih hebat.
“Pengambilan khas guru secara one-off yang melibatkan keseluruhan 18,702 orang adalah bagi merungkai isu kekurangan guru yang telah berlarutan sekian lama,” katanya.
Katanya, Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) selaku Pihak Berkuasa Melantik untuk mempercepatkan pelantikan dan penempatan baki pengambilan guru one-off dalam masa terdekat.
Jelasnya lagi, ia amat penting bagi menampung keperluan guru, khususnya bagi sesi persekolahan akan datang.
Radzi berkata, KPM akan berusaha untuk menyelesaikan perkara yang telah lama berlarutan satu per satu. –UTUSAN ONLINE