ekonomi

Tahun Kuda diharap pacu prestasi ekonomi negara – PM

ANWAR Ibrahim di Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina di Wisma MCA, hari ini. UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap sambutan Tahun Baharu Cina pada tahun ini dapat memberi impak positif terhadap pertumbuhan ekonomi negara.

Perdana Menteri berkata, Tahun Kuda membawa simbolik kepada kemajuan ekonomi yang lebih baik pada tahun ini selaras dengan semangat tenaga dan progresiviti yang dikaitkan dengan zodiak berkenaan.

“Tahun Kuda merupakan tahun berapi yang memacu pertumbuhan lebih hebat, menjadi simbol tenaga yang kencang dan bertenaga serta diharap dapat memberi prestasi ekonomi lebih baik pada tahun ini.

“Saya hadir untuk sama-sama meraikan sambutan Tahun Baharu Cina yang dianjurkan MCA. Ini bukan sahaja untuk satu kumpulan tetapi merangkumi perpaduan semua rakyat berbilang kaum dan agama,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina di Wisma MCA, semalam.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.

Sementara itu,  ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2026 anjuran Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), Anwar berkata, kerajaan perlu bersikap tegas untuk melindungi kepentingan masyarakat berbilang kaum dan memastikan rakyat bekerjasama dalam membina perpaduan dan keharmonian di negara ini.

Beliau berkata, langkah itu penting kerana tiada negara boleh mencapai kejayaan jika rakyatnya bergaduh antara satu sama lain dan tiada semangat bertolak ansur untuk mengangkat semua kaum dan agama dalam semua bidang.

Katanya, hasil kerjasama rakyat berbilang kaum di negara ini selama ini telah membuahkan hasil dengan data ekonomi menunjukkan Malaysia mencatat kemajuan yang jauh lebih membanggakan.

“Semuanya ini kerana negara kita aman, rakyat mempunyai semangat muafakat, dan kita bekerja bersama-sama untuk mengangkat martabat Malaysia.

Namun, jika ingin berjaya, kita mesti menerima bahawa wujud masalah dan perbezaan, tetapi perlu bekerjasama menyelesaikannya sebagai masyarakat yang hebat, sebagai keluarga Malaysia yang bersatu,” katanya.

Perdana Menteri berkata, sikap tegas kerajaan bukan bermaksud menindas, sebaliknya bagi memastikan rakyat terus bekerjasama dan memelihara keamanan serta keharmonian hidup bermasyarakat.

Katanya, dalam masyarakat berbilang bangsa, cabaran utama adalah mengekalkan perpaduan nasional dan mengatasi isu perpecahan serta sikap perkauman.

“Isu ini bukan perkara baharu kerana sejak sebelum merdeka, pemimpin terdahulu termasuk Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein sentiasa menekankan kepentingan bekerjasama serta menghadapi cabaran berkaitan perkauman.

“Sejarah ini mengingatkan kita sekiranya ingin berjaya, kita perlu menerima masalah dan perbezaan, tetapi perlu berusaha menyelesaikannya sebagai satu keluarga yang bersatu,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN