Proses penamaan calon di Johor Bahru Selatan lancar

Proses penamaan calon di Johor Bahru Selatan lancar

PEGAWAI dan anggota polis yang bertugas memastikan kelancaran proses penamaan calon di Dewan Raya Taman Pelangi Indah, Johor Bahru, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Proses penamaan calon di empat Pusat Penamaan Calon (PPC) di kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan berjalan lancar dengan tiada insiden tidak diingini dilaporkan berlaku.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintenden Lim Jit Huey berkata, seramai 365 pegawai dan anggota polis bertugas di empat PPC berkenaan.

Katanya, empat kawasan itu adalah PPC bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Larkin, Stulang dan Perling.

“Pasukan polis yang digerakkan melibatkan pegawai dan anggota daripada pelbagai jabatan termasuk unit peronda, trafik, pasukan cantas dan lain-lain.

“Setakat ini, laporan yang saya terima adalah proses penamaan calon di keempat-empat PPC itu berjalan lancar tanpa sebarang masalah,” katanya ketika ditemui pemberita di PPC Dewan Raya Taman Pelangi Indah, di sini.

Sehubungan itu, pihaknya mengingatkan orang ramai khususnya yang terlibat agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sepanjang tempoh PRN Johor ini.

“Kini kita telah memasuki tempoh berkempen, jadi saya menyeru semua pihak sama ada calon, penyokong mereka, orang awam serta petugas media agar patuh pada SOP ditetapkan.

“Pasukan pemantau dan penguatkuasa sepanjang tempoh kempen sudah ditubuhkan, sekiranya ada pihak gagal patuhi SOP, polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang,” tegasnya.

Terdahulu, Seorang wartawan daripada akhbar Sin Chew Daily dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 selepas melanggar SOP sempena PRN Johor ketika bertugas di PPC kerusi DUN Larkin di Dewan Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor Bahru.

Seorang lagi wartawan portal Malaysia Gazette pula dikenakan amaran oleh petugas Kementerian Kesihatan kerana melanggar peraturan penjarangan fizikal yang ditetapkan. UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN