PRN Johor: Empat penjuru, untungkan BN - Utusan Malaysia

PRN Johor: Empat penjuru, untungkan BN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pertembungan empat penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bakal memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) walaupun parti tersebut ketika ini sebenarnya tidak mempunyai kelebihan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik, Azmi Hassan berkata, BN ketika ini dilihat kuat hanya kerana kelemahan yang sedang berlaku dalam pembangkang yang semakin kritikal menjelang tarikh mengundi.

“Dalam hal ini juga, perlu diingat bahawa Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) merupakan kumpulan Bersatu yang pernah berada dalam Pakatan Harapan (PH) manakala Perikatan Nasional (PN) juga akan rugi kerana dalam Pejuang mempunyai bekas pemimpin Bersatu.

“Jadi, di sini ia akan berlaku perpecahan undi dalam kalangan pembangkang manakala BN tidak terlibat dengan apa yang sedang berlaku.

“Setakat ini, momentum kemenangan kekal kepada BN kerana undi UMNO tidak berpecah. Namun, undian yang pergi kepada UMNO bukan sebab UMNO kuat, tetapi kerana perpecahan undi yang berlaku dalam pembangkang,” kata beliau ketika dihubungi semalam.

PRN Johor pada 12 Mac ini bakal menyaksikan empat pertembungan besar iatu daripada BN, PH, PN dan Pejuang.

Ia susulan langkah terbaru Pejuang yang mengumumkan akan meletakkan sasaran calon di 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 56 kerusi yang dipertandingkan.

Menurut Azmi lagi, jika Pejuang bergerak solo dalam PRN Johor, parti itu berkemungkinan akan mengulangi sejarah Parti Bumi Kenyalang (PBK) yang tidak meraih kemenangan walaupun satu kerusi pada PRN Sarawak.

“Sebab mereka (Pejuang) menggunakan ikon Tun Mahathir Mohamad untuk dibawa ke Johor. Perlu diingat, Tun Mahathir mempunyai isu sensitif di negeri itu dan ini bukan peringkat nasional.
“Jadi, Pejuang sebenarnya perlu mengubah strategi jika ingin mencapai kemenangan pada PRN Johor,” kata beliau lagi.

Dalam pada itu, seorang lagi penganalisis politik, Prof. Datuk Dr. Zainul Fithri Othman berkata, BN dilihat parti yang masih meneruskan khidmat kepada rakyat Johor meskipun parti itu bertukar menjadi pembangkang selepas kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Menurut beliau, ia sekali gus memberi kelebihan kepada BN untuk meraih kemenangan pada PRN Johor.

“Kenapa rakyat nak serah mandat kepada pemimpin yang telah berdusta? Parti lain, tidak menunaikan janji lama, banyak janji dalam manifesto yang belum ditunaikan, aset Tabung Haji hilang bernilai RM19.9 bilion.

“BN ini, sewaktu banjir pun parti itu turun sebab BN memperlihatkan yang parti itu adalah merakyatkan diri mereka kepada rakyat. Jadi rakyat akan kembali percaya dengan parti yang mampu berkhidmat untuk mereka,” kata Zainul Fithri.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×