ISKANDAR PUTERI: Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengumumkan seorang penggiat seni sebagai calon tunggal mereka yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.
Calon itu, Arangkannal Rajoo, 46, memberitahu, hasrat menyertai PRN berkenaan bukan bertujuan suka-suka sebaliknya mahu memperjuang hak semua kaum di negara ini.
Beliau yang mesra dengan panggilan Ara berkata, pihaknya serta aktivis PSM akan terus berjuang bagi memastikan tiada tempat untuk diskriminasi kaum di negara dan negeri ini.
“Walaupun kita berbilang kaum tetapi semua adalah rakyat Malaysia dan PSM bukan sebuah parti berasaskan kaum, sebaliknya parti yang memperjuang kesamarataan antara kaum.
“Saya juga berjanji untuk menentang isu-isu diskriminasi perkauman di negara ini, termasuk perkauman terhadap golongan imigran,” katanya dalam sidang akhbar di Kangkar Pulai, di sini malam tadi.
Tambahnya, walaupun calon solo dan juga kali pertama PSM bertanding dalam pilihan raya di Johor, namun parti berkenaan telah melakukan kerja asas di kawasan berkenaan sejak lebih 10 tahun lalu.
“Tujuan menyertai PRN Johor ini adalah untuk membawa suara golongan marhaen termasuk pekerja ladang, pekerja kontrak dan lain-lain,” ujarnya.
Terdahulu, Ara diperkenal sebagai calon tunggal PSM dan calon pertama parti itu yang bertanding di DUN Johor oleh Setiausaha Agung PSM, A. Sivarajan.
Dalam majlis berkenaan, Ara turut bertindak mengisytiharkan harta miliknya yang bernilai kira-kira RM500,500 melibatkan sebuah rumah, sebuah kereta, sebuah motosikal beserta akaun bank dengan simpanan kira-kira RM2,000.
Selain itu, beliau turut mengangkat ikrar antirasisme dan menyeru calon-calon daripada parti politik lain untuk melakukan perkara sama.
Ara merupakan seorang graduan daripada Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang perfileman dan sains politik. Beliau sebelum ini mengarahkan sebuah filem yang mengetengahkan cabaran kehidupan golongan peladang di negara ini pada 2015. – UTUSAN