GAZA: Krisis kemanusiaan di Gaza diburukkan lagi kemunculan kumpulan bersenjata dan perebutan bantuan makanan oleh penduduk yang terdesak.
Di Hospital Nasser, Khan Younis, kakitangan perubatan terpaksa berdepan kekacauan apabila kumpulan bersenjata menyerbu pusat perubatan tersebut, selepas satu pertempuran berdarah antara puak yang berebut guni tepung bantuan.
Mereka memukul kakitangan perubatan, memusnahkan peralatan dan membakar kenderaan.
Tidak lama kemudian, kumpulan bersenjata lain turut tiba, dan bunyi tembakan automatik bergema di sekitar kompleks hospital, yang sudah pun rosak teruk akibat beberapa serangan Israel sebelum ini.
Insiden menjadi lebih buruk apabila pasukan keselamatan daripada Kementerian Dalam Negeri Gaza, yang dikaitkan dengan pejuang Hamas, turut terlibat bagi menangani pertempuran tersebut.
Kejadian itu, seperti yang diceritakan oleh kakitangan perubatan dan penduduk tempatan kepada akhbar The Guardian, mencerminkan keganasan dan anarki baharu di Gaza selepas hampir 21 bulan peperangan.
ISRAEL BEKAL SENJATA
Setakat ini, serangan Israel di Gaza meragut lebih 56,500 nyawa rakyat Palestin, majoritinya orang awam, menyebabkan sebahagian besar daripada 2.3 juta penduduk hilang tempat tinggal serta melumpuhkan hampir keseluruhan wilayah tersebut.
Kebelakangan ini, banyak kumpulan bersenjata menyertai pertempuran dan perebutan kuasa serta pengaruh menjadi semakin sengit walaupun Israel masih agresif melancarkan serangan.
Antara yang terlibat termasuk pelbagai puak militan, kumpulan bersenjata mewakili keluarga atau puak tempatan utama, gabungan baharu ditubuhkan oleh pemimpin masyarakat bebas, serta kumpulan penjenayah yang muncul akibat ketidaktentuan dan keadaan anarki berpanjangan.
Kesannya, Gaza kini berpecah-belah menjadi wilayah kecil yang dikawal individu tertentu.
Pasukan Pertahanan Israel (IDF) menguasai sebahagian besar wilayah tersebut, termasuk ‘zon penampan’ di sepanjang perimeter Gaza serta kawasan di selatan berhampiran sempadan Mesir, menyaksikan rejim bekerjasama rapat dengan puak baharu dikenali sebagai Pasukan Popular, diketuai bekas banduan bernama Yasser Abu Shahbab.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengesahkan Israel membekalkan senjata kepada puak tempatan yang menentang Hamas.
Yasser, yang menafikan menerima bantuan dan mempunyai hubungan dengan Israel, turut menguasai kawasan di sepanjang sempadan timur Gaza berhampiran pintu masuk utama dari Israel, walaupun pengaruh kumpulannya dicabar oleh beberapa keluarga bersenjata tempatan.
Kekacauan itu mendorong keluarga serta puak berpengaruh lain untuk menegaskan kawalan mereka terhadap sebahagian besar kawasan di selatan dan tengah Gaza.
PENGARUH HAMAS
Di bahagian utara, Hamas masih mengekalkan pengaruh, khususnya di Bandar Gaza serta kawasan kejiranan Jabaliya dan Shujaiya yang musnah.
Walaupun keupayaan tentera pejuang kini terjejas dan kebanyakan pemimpin veteran terbunuh akibat serangan Israel, ramai teknokrat awam masih memegang jawatan di kementerian utama.
Pentadbiran kejiranan pula dikendalikan oleh pegawai lain yang beroperasi secara rahsia.
“Mereka bersembunyi kerana diburu oleh pesawat Israel, tetapi kadang-kadang muncul untuk menyusun barisan di hadapan kedai roti, melindungi trak bantuan atau menghukum penjenayah.
“Mereka tidak seperti dahulu seperti sebelum perang, tetapi mereka masih wujud,” kata seorang pekerja binaan di Bandar Gaza.
Hamas dan pasukan polis separa tenteranya turut terlibat dalam pertempuran dengan kumpulan penjenayah tempatan, termasuk dalam insiden di Hospital Nasser.
Pasukan keselamatan Hamas turut menjadi sasaran Israel, dengan beberapa anggota Pasukan Sahm, unit yang ditubuhkan untuk membanteras penyeludupan dan rompakan, terbunuh dalam serangan udara ke atas Deir al-Balah.
MUATAN BANTUAN DIRAMPAS
Stok bantuan yang dikumpul semasa gencatan senjata selama dua bulan awal tahun ini, habis dalam tempoh 11 minggu berikutnya apabila Israel mengenakan semula sekatan.
“Kekurangan bantuan yang disengajakan menjadikan (bantuan) sebagai komoditi paling berharga sekarang.
“Jadi, jika anda ada senjata dan boleh dapatkan bantuan, anda boleh gunakannya untuk memperoleh wang dan kuasa, inilah yang menyebabkan banyak keganasan,” kata seorang pegawai bantuan.
Beliau yang tidak didedahkan nama mendakwa, harga satu guni tepung seberat 25 kilogram (kg) boleh dijual sehingga AS$500 (RM2,110).
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan agensi lain dibenarkan membawa masuk sekitar 70 trak bantuan sehari ke Gaza, kebanyakannya mengandungi tepung untuk dapur komuniti.
Namun, konvoi tersebut sering dihalang oleh sekatan konkrit dan muatannya dirampas, sama ada oleh kumpulan bersenjata atau orang awam yang terdesak.
“Keadaan sangat mengerikan. Ada 50 trak di sepanjang laluan dua kilometer (km), dan ada 50,000 orang di jalan raya cuba mendapatkan tepung,” kata seorang lagi pegawai bantuan di Gaza.
Ramai orang awam terbunuh ketika cuba mendapatkan makanan di pusat agihan bantuan yang dikendalikan Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF).
GHF mendakwa mengagihkan lebih 51 juta hidangan sejak bulan lalu, walaupun beroperasi dalam persekitaran yang tidak menentu.










