300 calon bersaing PRN Johor - Utusan Malaysia

300 calon bersaing PRN Johor

Dijangka 300 calon akan mefailkan borang pencalonan pada PRN Johor hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kira-kira 300 calon dijangka menfailkan borang penamaan calon hari ini ba­gi merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dianggap paling sengit dalam sejarah pemilihan wakil rakyat di negeri itu.

Jumlah calon itu berdasarkan pengesahan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) bersama Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang sudah memuktamadkan calon masing-masing.

BN dan PN kekal bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala angka ‘ganjil’ berlaku kepada gabungan PH bersama Muda setelah parti pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut meletak calon di DUN Larkin sehingga bertembung dengan PKR yang menjadikan gabungan itu memiliki 57 calon.

Pejuang pula kekal dengan 42 kerusi yang mahu mereka tandingi, diikuti Warisan yang hanya mencuba nasib di enam kerusi, manakala PBM di empat kerusi serta Parti Sosialis Malaysia (PSM) menamakan calon tunggal mereka di Kota Iskandar.

Desas-desus juga timbul bahawa Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) akan meletak calon mereka, di samping sejumlah besar calon bebas turut difahamkan akan bertanding dalam PRN Johor, 12 Mac ini.

Rekod

Mengikut rekod, PN membeli 295 borang penamaan calon diikuti BN (99), Pejuang (86), Muda (52), PKR (49), MCA (49), DAP (42), Parti Amanah Negara (34), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (30), Pas (21), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (20), Warisan (5), PH (3), PBM (1), lain-lain parti (55) dan individu (53).

Sementara itu, lima kerusi bakal menyaksikan sekurang-kurangnya pertandingan lima penjuru tidak termasuk calon bebas iaitu DUN Maharani, Tiram, Puteri Wangsa, Permas dan Kota Iskandar.
PRN Johor juga menyaksikan penyertaan sulung Pejuang, Muda dan PBM yang bertanding dalam pilihan raya di negara ini selain Warisan yang turut kali pertama bertanding di Semenanjung.

Pilihan raya berkenaan juga menjadi gelanggang eksperimen pertarungan antara selebriti, orang muda dan golongan berusia sebelum pengundi merumuskan pilihan calon mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ini berikutan setiap parti yang mengambil bahagian menampilkan kira-kira 50 peratus muka baharu dengan campuran ge­nerasi muda dan berusia dalam bersaing mendapat mandat 12 Mac ini.

Setakat semalam, BN mengetengahkan lebih 80 peratus calon berusia 55 tahun ke bawah dengan 70 peratus dalam kalangan calon PRN Johor adalah muka baharu.
PN pula menampilkan 19 calon berusia bawah 40 tahun dengan 41 calon muka baharu manakala 15 lagi bertanding semula.

 

ADUN Paloh

Keputusan DAP memilih bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Sheikh Umar Bagharib Ali dan Setiausaha Publisiti Wanita DAP Johor, Marina Ibrahim disifatkan strategi untuk menarik sokongan golongan muda terutama mereka berusia 18 hingga 21 tahun.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Syed Alsagoff berkata, perkara yang dibuat oleh kebanyakan parti bertanding sebenarnya menjurus kepada usaha mendapatkan sokongan bukan daripada generasi y semata-mata.

Ini kerana, katanya, pilihan raya negeri kali ini lebih banyak menonjolkan kredibiliti pemimpin untuk mengetuai sesebuah kawasan berbanding jenama parti.

“Kredibiliti ini yang sebenarnya memberi satu indikator kepada kewibawaan parti sendiri.
“Bukan saja sokongan dari generasi Y, tetapi nak lihat apakah rakyat boleh terima pencalonan daripada personaliti yang ditonjolkan pada PRN ini.,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×